Saman fitnah Fahmi terhadap bekas calon Pas Kuang selesai cara baik
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Kes saman fitnah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil terhadap bekas calon Pas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Mohd Fauzan Madzlan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Persetujuan tersebut disepakati selepas Fauzan bersetuju bahawa Fahmi tidak menyampaikan ceramah politik di dalam Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor pada 2023.
Peguam Fahri Azzat yang mewakili Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memaklumkan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian danbersetuju dengan penghakiman persetujuan.
Perkara berkenaan disahkan peguam Mohammed Zamri Ibrahim yang mewakili Mohd Fauzan (gambar kecil) selaku defendan.
Hakim Ahmad Mohzanuddin kemudian merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes saman tersebut
“Defendan kesal di atas hantaran Facebook bertarikh 31 Julai 2023 yang mengulas isu tersebut yang menjadi subjek kepada kes hari ini. Jadi dua perkara utama iaitu pertama defendan mengakui bahawa ucapan YB Fahmi bukan kempen politik dan bukan ucapan berbaur politik.
“Kedua, defendan berasa kesal terhadap sebarang salah faham yang timbul akibat kenyataan yang dikeluarkan di Facebook “N13 Kuang” yang menjadi subjek kes ini. Defendan juga dengan seikhlas hati menyatakan bahawa ucapan Fahmi pada 30 Julai 2023 di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor, semasa tempoh Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15, bukan satu kempen politik ataupun ucapan berbaur politik,” kata peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, lapor Bernama.
Kes saman fitnah yang difailkan Fahmi terhadap Fauzan, pemilik akaun Facebook “N13 Kuang” pada 2023 berhubung dakwaan kononnya Menteri Komunikasi itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Sementara itu, Fahmi menghargai persetujuan pengendali Facebook tersebut menyelesaikan kes tersebut secara baik.
“Pengesahan beliau itu amat saya hargai,” katanya di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Selain defendan, Fahmi sebelum ini turut menfailkan saman fitnah terhadap terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani serta Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai “Papagomo” berhubung isu sama.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 5 September 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023 manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd Fauzan yang bertanding atas tiket Pas di DUN Kuang tewas dalam pertandingan empat penjuru, menyaksikan calon KEADILAN Salleh Amiruddin menang dengan majoriti 2,860 undi.




Comments