top of page

Saling hormat, raikan perbezaan sempena Tahun Baharu Cina - Saifuddin

  • 40 minutes ago
  • 1 min read

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar), mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambut perayaan tersebut, sambil menyeru agar semangat perpaduan terus diperkukuh dalam kepelbagaian masyarakat negara ini.


Beliau berkata, Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan masyarakat Cina semata-mata, sebaliknya mencerminkan warna-warni kebersamaan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.


"Perayaan ini bukan sekadar sambutan rakan-rakan kita yang berbangsa Cina, tetapi adalah sebahagian daripada warna-warni kebersamaan kita sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian.


"Dalam semangat Malaysia MADANI, marilah kita terus memperkukuh perpaduan, saling menghormati dan meraikan perbezaan sebagai kekuatan bersama," katanya dalam muat naik di media sosial.


Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan, khususnya kepada mereka yang pulang ke kampung halaman atau melancong.


"Kepada mereka yang pulang ke kampung halaman atau melancong sepanjang musim perayaan ini, pandulah dengan cermat dan utamakan keselamatan di jalan raya. Kepada yang meraikan bersama keluarga dan sahabat, khususnya ketika penggunaan mercun dan bunga api, pastikan ia dilakukan dengan penuh tanggungjawab demi keselamatan semua," ujarnya.


Saifuddin berkata, perayaan seumpama ini wajar diraikan dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.


"Raikanlah Tahun Baharu Cina dengan penuh kegembiraan dan rasa hormat antara satu sama lain. Semoga tahun ini membawa kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan buat seluruh rakyat Malaysia. Gong Xi Fa Cai," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page