Rundingan AS-Iran: Malaysia sokong perjanjian rangka kerja tamat perang
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Malaysia menyatakan keyakinan terhadap perkembangan positif rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang sedang berperang ke arah pembentukan satu perjanjian rangka kerja yang berpotensi memulihkan kestabilan di rantau Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima petunjuk memberangsangkan daripada pemimpin di rantau Teluk bahawa rundingan tersebut, termasuk usaha membuka semula Selat Hormuz yang ditutup Iran sejak Mac lalu, sedang bergerak secara progresif.
"Saya telah menerima petunjuk yang memberangsangkan daripada para pemimpin di Asia Barat bahawa rundingan ke arah satu perjanjian rangka kerja antara Amerika Syarikat dan Iran, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, sedang bergerak ke arah yang progresif. Saya melihat perkembangan ini dengan penuh optimisme yang bersungguh-sungguh," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, Malaysia turut mengambil maklum peranan konstruktif beberapa negara termasuk Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Türkiye dan Emiriah Arab Bersatu dalam memudahcara proses rundingan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau mengalu-alukan penglibatan Presiden AS, Donald Trump yang dilihat memainkan peranan penting dalam usaha mencapai penyelesaian secara rundingan.
"Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Trump dalam usaha mencapai penyelesaian secara rundingan. Kami berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan membawa rundingan tersebut ke arah penyelesaian yang berjaya," ujarnya.
Anwar turut menggesa semua pihak terlibat agar mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif, yang bukan sahaja memperkukuh gencatan senjata sedia ada, malah memastikan laluan selamat di Selat Hormuz bagi kesemua kapal serta menjaga kepentingan keselamatan semua negara di rantau tersebut.
"Kami menggesa semua pihak untuk mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif yang memperkukuh gencatan senjata sedia ada, memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz, serta menangani kepentingan keselamatan sah semua negara di rantau ini," katanya.
Selain itu, beliau menegaskan Malaysia bersedia memainkan peranan dalam menyokong usaha pelbagai hala demi memastikan keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.
"Malaysia bersedia untuk menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat," katanya lagi.
Untuk rekod, rundingan sedang rancak berjalan antara AS dan Iran dengan perantara utama Pakistan. Satu kerangka perjanjian gencatan senjata sekurang kurangnya untuk dua bulan sedang dirangka dengan Iran akan membenarkan kapal tangki menggunakan Selat Hormuz tanpa dikenakan tol, dengan imbalan negara itu bebas menjual minyaknya ke mana sahaja selama 60 hari.
Perjanjian penamatan perang akan dirundingkan dalam tempoh berkenaan dan bergantung kepada persetujuan kedua dua pihak dalam mempersetujui syarat seterusnya yang menyentuh pembekuan aset Iran, pengayaan uranium gred senjata dan beberapa perkara yang menyebabkan hubungan tegang AS - Iran hingga ke tahap peperangan selama sebulan sejak Mac lalu.




Comments