Rumah Kasih Ihsan: Manfaat dirasai rakyat, disambut penuh syukur
- Helmi Mohd Foad

- 49 minutes ago
- 1 min read

Perbezaan politik tidak menghalang Kerajaan Persekutuan meneruskan tanggungjawab membela kebajikan rakyat Kelantan termasuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan kediaman lebih selamat dan selesa.
Usaha itu diterjemahkan menerusi inisiatif Rumah Kasih Ihsan apabila dua penduduk di Jeli menerima manfaat pembinaan rumah yang diselaraskan Pasukan Penyelarasan PMX, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan.
Kisah berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkongsi hantaran ICU JPM Kelantan mengenai penyerahan bantuan tersebut di media sosialnya.
Menurut ICU JPM Kelantan, rumah yang selamat dan selesa bukan sekadar tempat berteduh, malah menjadi asas kepada kehidupan lebih sejahtera dan bermaruah.
Di Kampung Renyut, Jeli, seorang penduduk, Yusuf Mohamad Nawawi menerima Surat Setuju Terima (SST) bagi pembinaan sebuah rumah baharu untuk menggantikan kediaman sedia ada.
Pembinaan itu diharap dapat memberikan kehidupan lebih selesa dan selamat kepada Yusuf serta keluarganya.
Seorang lagi penerima, Shamsul Bahri Che Musa pula boleh menarik nafas lega apabila rumah baharunya siap dibina dan diserahkan kepadanya.
Penyerahan itu disempurnakan Pengarah ICU JPM Kelantan, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail selain kedua-dua penerima turut menerima sumbangan bakul makanan.
Bagi penerima, bantuan kediaman berkenaan bukan hanya bermakna memperoleh struktur rumah yang lebih baik, tetapi membuka ruang untuk mereka menjalani kehidupan dalam keadaan lebih selesa dan terjamin.
ICU JPM Kelantan berkata usaha berkenaan membuktikan pembangunan bermakna tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya sejauh mana manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.




Comments