top of page

Rombakan Kabinet satu regenerasi, pembaharuan kepimpinan - Kamil Munim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 31 minutes ago
  • 3 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sewajarnya dilihat sebagai sebahagian daripada agenda regenerasi dan pembaharuan dalam barisan kepimpinan.


Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar), berkata Datuk Seri Anwar telah menunjukkan kesediaan untuk memberi peluang kepada muka baharu yang muda, berpendidikan dan berkeupayaan.


Beliau menyifatkan, ia bukan simbolik tetapi sebagai pelaburan jangka panjang untuk negara dan membina lapisan pimpinan negara yang merupakan satu usaha membina barisan pemimpin yang akan memikul tanggungjawab negara untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.


"Hakikatnya, Datuk Seri Anwar sendiri dilantik sebagai menteri pada usia yang relatif muda pada zamannya. Minggu ini, beliau mengulangi kitaran itu dengan membuka ruang kepada generasi seterusnya.


"Pelantikan tokoh muda seperti Dr Zulkifli Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), antara menteri agama termuda dalam sejarah mencerminkan kepercayaan kepada kepakaran dan idea segar.


"Dr Zulkifli, berusia di bawah 50 tahun, bukan sekadar simbol generasi baharu, tetapi seorang tokoh yang sangat layak dan berpengalaman, seorang ilmuwan dan pendidik, dengan pengalaman terdahulu sebagai timbalan menteri," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Muhammad Kamil lagi, pelantikan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari, seorang Ahli Parlimen berusia 29 tahun yang selari dengan dasar Kerajaan Malaysia menurunkan had umur belia kepada 30 tahun bermula tahun hadapan.


Tidak ketinggalan juga katanya, pelantikan seorang lagi pemimpin muda AMK iaitu Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang berusia 34 tahun.


"Ia bukan sahaja simbolik kepada komitmen kerajaan MADANI terhadap agenda pemerkasaan belia, tetapi juga memberi isyarat supaya belia diberikan peluang dan ruang untuk memimpin dan bekerja serta memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran kerajaan.


"Bahkan komitmen yang sama juga ditonjolkan oleh Perdana Menteri apabila memposisikan seorang lagi tokoh muda, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berusia 39 tahun yang diberi kepercayaan dan amanah untuk menerajui portfolio penting di Kementerian Ekonomi manakala Yuneswaran Ramaraj, pemimpin muda berusia 38 tahun sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Perpaduan Negara.


"Bagi mereka yang kini memegang portfolio dasar yang lebih berat seperti pendidikan tinggi yang digalas oleh sahabat saya Saudara Adam Adli, pelantikan ini harus dilihat sebagai proses pendewasaan politik.


"Dahulu orang muda dan aktivis berdebat dan berkempen, hari ini kami diuji dengan tanggungjawab melaksanakan dasar. Inilah peralihan yang perlu dilalui jika Malaysia mahu melahirkan pemimpin yang bukan sahaja lantang bersuara, tetapi mampu mentadbir dengan matang," ujarnya.


Menurutnya lagi, rombakan kabinet terbaharu ini bukan sekadar pertukaran nama atau imbangan kuasa politik, tetapi merupakan mesej jelas tentang hala tuju kepimpinan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan lebih penting, tentang keberanian Datuk Seri Anwar untuk memikirkan masa depan Malaysia melangkaui satu kitaran pilihan raya.


Kata Muhammad Kamil yang juga Ketua AMK Pusat, Kabinet tersebut akan membawa negara menuju ke PRU16 dan juga merupakan Kabinet yang berkemungkinan mencerminkan sama ada Malaysia benar-benar bersedia melakukan peralihan generasi dalam kepimpinan nasional.


"Dalam konteks ini, mesej Perdana Menteri jelas iaitu negara tidak boleh terus dipimpin oleh formula lama, dengan wajah yang sama dan pendekatan yang kitar semula.


"Kesimpulannya, tiada Kabinet yang sempurna. Setiap pelantikan membawa risiko dan cabaran. Namun, keberanian sebenar dalam kepimpinan ialah kesediaan memberi peluang, memantau prestasi, dan bersedia dinilai.


"Kabinet ini bukan tentang siapa paling lama atau paling lantang, tetapi tentang siapa yang sanggup memikul tanggungjawab untuk masa depan negara. Inilah erti sebenar Kabinet regenerasi, berani memilih masa depan, dan bekerja melaksanakan kata-kata," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page