RM8 juta pasang CCTV tingkatkan keselamatan di sekolah
- Redzuan Shamsudin

- 11 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Persekutuan memperuntukan kira-kira RM8 juta bagi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah seluruh negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, pemasangan secara berfasa itu bagi memperkukuh aspek keselamatan institusi pendidikan sekaligus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Setakat ini kita telah membelanjakan kira-kira RM8 juta dan usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan isu keselamatan dapat dipantau secara menyeluruh," katanya dipetik.
Fadhlina sebelumnya menghadiri Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 di Sekolah Kebangsaan Limpaku Pinang, di Limbang, Sarawak.
Beliau memaklumkan, beberapa sekolah telah mula menerima pemasangan CCTV manakala sebahagian lagi sedang dalam perancangan pelaksanaan.
Sementara itu, Fadhlina semasa lawatan tersebut mengumumkan RM272,875.50 disalurkan kepada sekolah berkenaan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan dan penyelenggaraan.
Ia antaranya melibatkan kerja penyelenggaraan kuarters guru, penambahbaikan prasekolah serta menaik taraf tangki air bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan kondusif untuk guru serta murid.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM10,000 menerusi Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif digital di sekolah berkenaan.
Bagi menyokong agenda pendigitalan pendidikan, sebuah papan pintar (Smartboard) sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn serta 20 unit tablet daripada Yayasan Didik Negara turut diserahkan kepada sekolah tersebut.
Pada majlis sama, sebanyak 33 set bantuan persekolahan turut disumbangkan kepada murid yang memerlukan.




Comments