top of page

RM2.62 bilion untuk subsidi, insentif pesawah, jaga kebajikan petani

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
2 hours ago
2 min read
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerima peruntukan RM6.92 bilion menerusi Belanjawan 2027, termasuk RM2.62 bilion bagi meneruskan pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata peruntukan keseluruhan kementerian itu meningkat RM50.31 juta berbanding RM6.87 bilion pada 2026, merangkumi RM4.85 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM2.07 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.


Beliau berkata, Belanjawan 2027 memperlihatkan kesungguhan Kerajaan MADANI menjadikan keterjaminan makanan sebagai keutamaan strategik, selain memperkukuh sektor agromakanan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.


"Belanjawan 2027 memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, memperkukuh daya tahan sektor agromakanan serta menjaga kebajikan petani, penternak dan nelayan," katanya dalam kenyataan media.


Menurutnya, pesawah dijangka menikmati manfaat sekitar RM4,300 melalui pelbagai subsidi dan insentif, termasuk subsidi benih, baja, racun, upah membajak serta insentif harga padi.


Kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta bagi memulihkan dan menyuburkan tanah menerusi pembekalan baja foliar yang melibatkan lebih 10,000 hektar kawasan sawah.


Selain itu, kadar Insentif Penuaian Padi (IPP) dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 sehektar bagi setiap musim, manakala Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) pada kadar RM300 sehektar semusim dikekalkan dan diperluas kepada pengusaha sawah di Sabah serta Sarawak.


Mohamad berkata, pelaksanaan projek tanaman padi lima musim dalam dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut diberi keutamaan bagi meningkatkan pengeluaran padi negara.


Kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah sedang dilaksanakan mengikut jadual, manakala Projek Pemulihan Empangan Pedu dijangka siap pada penghujung 2027.


Dalam usaha memodenkan sektor pertanian dan memperkasa usahawan tani, pembiayaan berjumlah RM1 bilion disediakan menerusi Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyokong peningkatan hasil pertanian, termasuk melalui penggunaan teknologi.


Kerajaan turut menyediakan dana RM40 juta untuk menghasilkan produk bernilai tinggi menerusi penerapan teknologi moden.


Bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, sebanyak 5,000 program Jualan Agro MADANI akan diteruskan dengan menawarkan hasil tani segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.


Inisiatif itu khususnya bertujuan membantu komuniti B40 dan M40, selain memperluas penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di 216 pasar tani atau tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.


Sementara itu, sektor perikanan turut menerima perhatian menerusi peruntukan RM30 juta bagi meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan melalui proses pemutihan.


Peruntukan RM40 juta melalui Agrobank juga disediakan bagi pembiayaan projek akuakultur, termasuk penyediaan sistem bioflok untuk ternakan ikan tilapia.


Nelayan yang layak akan terus menikmati harga diesel bersubsidi RM1.65 seliter, manakala RM178 juta diperuntukkan, antaranya bagi penyaluran insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup sehingga RM300 sebulan.


Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, pelbagai inisiatif itu akan dilaksanakan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030), khususnya bagi meningkatkan pengeluaran makanan domestik serta mengurangkan kebergantungan kepada import.


"KPKM komited untuk memastikan setiap peruntukan dan inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berlandaskan tatakelola yang baik supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan sasar serta rakyat secara keseluruhannya," katanya.


Beliau yakin Belanjawan 2027 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor agromakanan yang lebih moden, mampan dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page