top of page

RCI TH: Reformasi institusi jangan terhenti pada pendedahan, giatkan pemantauan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 days ago
  • 2 min read

Reformasi institusi tidak boleh terhenti setakat pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).


Menurut Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias, dapatan RCI TH menunjukkan terdapat kelemahan dalam aspek pengurusan, pengawasan dan proses membuat keputusan yang memberi kesan besar kepada kedudukan TH.


Oleh itu, katanya, KEADILAN Terengganu mengesyorkan pelaksanaan syor RCI dipantau secara terbuka melalui mekanisme yang boleh dipertanggungjawabkan kepada Parlimen bagi memastikan berjalannya siasatan, mengatasi kelemahan dan pembaikan berterusan pengurusan TH.


"Kerajaan perlu mengemukakan pelan pelaksanaan yang mempunyai garis masa yang jelas serta melaporkan kemajuan pelaksanaannya secara berkala," kata beliau dalam kenyataan hari ini.


KEADILAN Terengganu juga, katanya, mencadangkan supaya Akta Tabung Haji dipinda bagi mengehadkan kuasa budi bicara Menteri dalam urusan operasi dan pelaburan.


"Peranan Menteri hendaklah tertumpu kepada penetapan dasar, manakala keputusan pelaburan mesti dibuat oleh Lembaga dan Jawatankuasa Pelaburan yang bebas, berasaskan penilaian risiko dan kepentingan pendeposit."

Aiman Wan Alias
Aiman Wan Alias

Dalam pada itu, Aiman berkata syarat pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga TH harus diperkukuhkan melalui mekanisme fit and proper, termasuk pengalaman relevan dalam kewangan, pelaburan atau pengurusan risiko.


Ujarnya, setiap calon juga perlu menjalani saringan integriti, membuat pengisytiharan konflik kepentingan serta tertakluk kepada penilaian prestasi yang telus.


"Dalam masa sama, audit forensik dan tindakan penguatkuasaan yang disyorkan oleh RCI hendaklah dilaksanakan sepenuhnya tanpa kompromi.


"Pendeposit berhak mengetahui punca kerugian; sama ada wujud pelanggaran tanggungjawab fidusiari, tindakan pemulihan kerugian jika terdapat kecuaian atau salah laku," katanya.


Beliau berkata TH juga perlu meningkatkan budaya ketelusan terhadap pendeposit dengan mempertingkatkan laporan prestasi pelaburan, pendedahan risiko material serta penjelasan terhadap keputusan pelaburan utama.


"Amanah tidak boleh bergantung kepada kepercayaan semata-mata; ia mesti disokong oleh ketelusan dan akauntabiliti yang boleh dinilai oleh rakyat," jelasnya.


KEADILAN Terengganu turut berpandangan individu yang masih memegang jawatan politik aktif tidak wajar dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga TH bagi mengelakkan persepsi bahawa keputusan pelaburan dipengaruhi pertimbangan politik.


Aiman berkata laporan RCI tersebut wajar dijadikan asas kepada pembaikan struktur dan bukan sekadar penilaian terhadap kegagalan masa lalu.


"Yang penting ialah memastikan kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti tidak berulang melalui pengukuhan mekanisme semak dan imbang, kebebasan Lembaga serta akauntabiliti yang lebih jelas.


"Akauntabiliti politik juga perlu ditegakkan. Umno perlu menjelaskan keputusan yang dibuat serta mengakui kelemahan yang berlaku," katanya.


Menurut Aiman lagi, TH merupakan institusi amanah yang mengurus kepentingan jutaan pendeposit dan pengurusannya mesti berteraskan tadbir urus kukuh serta bebas daripada sebarang pengaruh yang boleh menjejaskan pertimbangan profesional.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page