top of page

RCI TH: Rashid sangkal tuduhan Madinah, diberi peluang kemuka jawapan bertulis

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 57 minutes ago
  • 3 min read
Pengerusi TH Tan Sri Rashid Hussain bercakap kepada pemberita selepas sesi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi, 3 September 2026.
Pengerusi TH Tan Sri Rashid Hussain bercakap kepada pemberita selepas sesi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi, 3 September 2026.

Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Rashid Hussain menegaskan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad telah diberi peluang untuk menjawab persoalan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) termasuk mengemukakan jawapan bertulis melalui akuan bersumpah.


Beliau yang merupakan bekas anggota suruhanjaya diraja itu tampil menjelaskan perkara itu bagi menjawab dakwaan Madinah bahawa beliau tidak diberikan peluang yang adil untuk memberi keterangan kepada RCI.


"Madinah telah dikeluarkan sapina dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022 namun beliau meminta hadir bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan, Mona Othman


"Berdasarkan prosiding RCI yang memeriksa saksi secara bersemuka seorang demi seorang. Jadi kita tak benarkan dia (Madinah),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi hari ini.


Program itu merupakan anjuran bersama WADAH, ABIM, IKRAM dan HALUAN.


Rashid berkata, suruhanjaya diraja itu bagaimanapun tetap menerima keterangan dan kerjasama Mona yang juga merupakan pegawai berkaitan audit Tabung Haji pada 2 Jun 2022.


"Kami mempunyai laporan penuh," katanya yang menyatakan ada pihak meminta beliau berhati-hati dengan tidak menjawab isu tersebut.


Bagaimanapun, Rashid memilih untuk menjawab perkara tersebut bagi membolehkan ia direkodkan.


Malah katanya, Madinah turut diberikan peluang untuk mengemukakan jawapan bertulis terhadap persoalan yang dikemukakan RCI.


"Beliau diberikan peluang untuk mengemukakan jawapan bertulis kepada soalan-soalan kami. Beliau menyerahkan jawapan dalam satu akuan bersumpah," ujarnya.


Menurut Rashid, jawapan bertulis Madinah bersama akuan bersumpah itu bertarikh 1 April 2022 menjadi sebahagian daripada rekod RCI.


Rashid berkata, beliau tidak berniat untuk menimbulkan kontroversi berhubung perkara itu, namun berpandangan penjelasan tersebut perlu direkodkan bagi menjelaskan kedudukan sebenar prosiding RCI.


Beliau turut menegaskan persoalan berhubung proses RCI tidak seharusnya menjejaskan kredibiliti serta metodologi yang digunakan dalam menjalankan siasatan berkenaan.


Mengulas peranan Bank Negara Malaysia (BNM), beliau berkata bank pusat itu pada asalnya bukan pengawal selia langsung Tabung Haji sebaliknya bertanggungjawab terhadap kestabilan sistem kewangan negara.


Bagaimanapun, katanya Bank Negara pernah memberi teguran kepada Tabung Haji kerana melihat kemungkinan wujud risiko sekiranya amalan yang dilaksanakan sejak 2014 diteruskan.


“Bank Negara telah membuat teguran kepada Tabung Haji atas dasar itu sebab Bank Negara melihat bahawa mungkin terdapat risiko jika Tabung Haji meneruskan lagi praktis-praktis yang dilakukan sejak tahun 2014,” katanya.


Menurut Rashid, surat peringatan turut dikeluarkan kepada Tabung Haji supaya melakukan perubahan atau pembetulan terhadap amalan berkenaan.


Bagaimanapun, katanya teguran itu tidak diambil serius dan amalan tersebut masih diteruskan sehingga 2017 sebelum isu berkenaan menjadi kontroversi pada 2018.


Beliau berkata, dalam perbincangan RCI, isu berkenaan pada awalnya turut dikaitkan dengan persoalan kecairan serta kemungkinan peranan Bank Negara sebagai pengawal selia.


Namun selepas penelitian lebih mendalam, RCI mengambil kira sifat Tabung Haji sebagai sebuah institusi pelaburan.


Rashid berkata, pada satu ketika, sekitar 90 hingga 95 peratus pelaburan Tabung Haji berada dalam pasaran modal manakala kecairan lebih berperanan sebagai mekanisme sokongan sekiranya berlaku masalah atau kehilangan keyakinan.


Hasil penelitian itu, terdapat keperluan supaya Tabung Haji mempunyai kerangka kawal selia yang lebih jelas, ujarnya.


Beliau berkata, dua pilihan telah dipertimbangkan sama ada Tabung Haji dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti atau melalui satu mekanisme yang melibatkan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Gabenor Bank Negara.


Bagaimanapun, katanya cadangan itu tidak bermaksud Bank Negara akan diketepikan daripada pengawasan terhadap Tabung Haji.


“Ini tidak bermaksud Bank Negara tidak akan terlibat dengan Tabung Haji. Ia tetap sebagai tanggungjawab yang besar pada institusi kewangan kerana soal kecairan akan sentiasa berada di bawah Bank Negara,” katanya.


Menyentuh pelaksanaan syor RCI, Rashid berkata beliau yakin kira-kira 90 peratus daripada syor berkenaan telah dilaksanakan.


Bagaimanapun, katanya baki 10 peratus masih perlu dilihat dari sudut kesesuaian dan praktikaliti pelaksanaannya.


"Saya biarkan ia (baki 10 peratus) kekal terbuka," ujarnya.


Beliau berkata, apa yang penting ialah semua pihak termasuk kerajaan perlu bekerjasama bagi memastikan Tabung Haji terus kukuh dan mampu melaksanakan amanahnya.


“Saya fikir sebenarnya kami telah mendapat surat daripada kerajaan mengenai situasi sekarang dan mereka membantu Tabung Haji dengan 10 peratus yang terakhir yang saya fikir sangat sukar.


“Jadi mari kita bekerjasama,” katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page