RCI TH: Rashid kata Madinah beri keterangan, AMK tuntut penjelasan
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menuntut bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad memberi penjelasan terhadap pendedahan Tan Sri Rashid Hussain.
Hal itu berhubung pendedahan bahawa Madinah telah dipanggil memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji melalui perintah rasmi mahkamah (sepina) yang bertentangan dakwaan beliau kononnya tidak diberi peluang memberi keterangan kepada panel RCI.
Sayap pemuda parti KEADILAN itu mempersoalkan, sekiranya Madina sudah dipanggil secara rasmi menerusi sapina, mengapa fakta penting itu tidak didedahkan kepada umum sejak awal.
"AMK menuntut Madinah memberikan penjelasan terbuka sama ada beliau menerima sapina tersebut, hadir memberikan keterangan atau mempunyai alasan tertentu sehingga tidak berbuat demikian.
"Rakyat berhak mengetahui keseluruhan fakta, bukan hanya fakta yang sesuai dengan sesuatu naratif," kata AMK dalam satu kenyataan.
Semalam, Rashid yang juga ahli panel bagi RCI tersebut mendedahkan rekod prosiding menunjukkan Madinah sudah dikeluarkan sapina dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022.
Madinah bagaimanapun meminta hadir bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan ketika itu, Dr Mona Othman namun ditolak kerana prosiding menetapkan setiap saksi diperiksa secara individu.
Bagaimanapun, Madina tetap diberi ruang melalui 75 soalan bertulis yang dijawab dan diserah menerusi akuan berkanun pada 1 April 2022, yang kemudiannya direkodkan sebagai kenyataan saksi.
Sementara itu, AMK mengingatkan semua pihak bahawa kredibiliti RCI tidak seharusnya dijatuhkan melalui persepsi atau kenyataan tidak lengkap.
"Dalam isu sebesar Tabung Haji, kebenaran tidak boleh dipilih mengikut keselesaan politik mana-mana pihak. Jika benar berlaku ketidakadilan, buktikan. Jika proses sapina telah dilaksanakan, akui dan jelaskan kepada rakyat.
"Jangan kerana mahu mempertahankan satu naratif, keyakinan rakyat terhadap institusi dan proses mencari kebenaran pula menjadi mangsa," kata kenyataan itu.




Comments