top of page

RCI TH: 'Laporan tidak sebut DAP ambil aset orang Islam'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 day ago
  • 2 min read

Pemimpin pembangkang pada 2019 yang mentohmah kerajaan Pakatan Harapan 1.0 kononnya cuba mengambil aset orang Islam apabila beberapa anak syarikat Tabung Haji (TH) dipindah ke Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) di bawah Kementerian Kewangan yang ditadbir Lim Guan Eng, seharusnya dipersoalkan oleh penyokong masing masing selepas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji tidak mencatat sebaris ayat pun berkenaan campur tangan ahli politik DAP dalam TH.


Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, setakat penelitian beliau tiada kenyataan yang mengaitkan pemimpin DAP dengan dakwaan mengambil alih anak syarikat Lembaga TH seperti digembar-gemburkan oleh pemimpin Umno dan Pas pada 2019 lalu.


Katanya, laporan itu lebih menjurus kepada isu kelemahan tadbir urus dan salah urus dana TH oleh pihak yang diamanahkan menguruskan institusi berkenaan.


"Ada (juga) yang mempersoalkan tentang penglibatan orang politik (Umno) dalam tadbir urus TH. Kita nak melihat bagaimana sikap orang Melayu terhadap skandal ini.


"Adakah mereka berdiam diri atau mereka akan menunjukkan protes terhadap skandal ini," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dapatan RCI yang didedahkan petang semalam dan laporan itu juga tidak menyebut penglibatan pemimpin DAP seperti yang didakwa pembangkang pada 2019 lalu kononnya DAP mahu mengambil alih anak syarikat TH.


Ustaz Mohd Zawawi menegaskan, Pakatan Harapan (PH) sememangnya konsisten menolak amalan rasuah serta berpandangan orang Melayu dan umat Islam sewajarnya membenci perbuatan itu, bukannya berdiam diri atau bertolak ansur dengannya.


"Kita lihat nanti bagaimana sikap pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.


"... (Jika tiada yang faham), bermakna kita menghadapi masalah dalam memberi kefahaman kepada masyarakat Melayu-Islam mengenai tadbir urus yang baik dan salah laku rasuah. (Perkara itu) memerlukan pendidikan dan reformasi ke arah pembinaan generasi Malaysia yang lebih baik," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page