RCI TH cari kebenaan, bukan 'memangsai' pihak tertentu - AMK Selangor
- Akmal Manaf

- 49 minutes ago
- 1 min read

Dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) perlu dilihat sebagai proses mencari kebenaran dan menentukan pihak yang bertanggungjawab, bukannya dijadikan alasan untuk menuduh Kerajaan ‘memangsakan’ mana-mana pemimpin politik tertentu.
Ketua Angkatan Muda KEA DILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) berkata, perkara paling penting bahawa RCI TH tidak ditubuhkan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan, sebaliknya ia dibuat pada 2021 ketika Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mendominasi kerajaan.
Oleh itu sekiranya pemimpin BN disiasat akibat RCI itu, kata beliau, hal itu tiada kaitan dengan politik yang melibatkan PH.
"Jadi yang patut dipersoalkan ialah orang yang mentadbir kerajaan pada masa itu. Zaman PH cuma melaksanakan hukuman sahaja selepas proses RCI itu berjalan.
"Tak ada faktor yang mengatakan perkara ini untuk menghukum mana-mana parti. Ini adalah satu proses, dan setiap siasatan mesti ada tindakan susulan dan hukuman (sekiranya didapati berlaku kesalahan)," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas dakwaan di media sosial kononnya Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak memangsakan pemimpin tertentu, sedangkan RCI berkenaan ditubuhkan ketika PN menerajui kerajaan.
Selain itu, kata Iman, masalah dengan penyokong pembangkang ialah mereka seolah-olah cuba menormalisasikan perbuatan rasuah.
Rasuah kata beliau, disinonimkan dengan bantuan atau pemberian pemimpin tertentu kepada kaumnya.
"Contohnya, oh, tak apalah dia rasuah, janji zaman dia kita dapat banyak bantuan. Tak apalah rasuah, janji dia sokong orang Melayu. Perkara-perkara seperti itu tidak sepatutnya dinormalisasikan.
"Rasuah tetap rasuah, tidak mengenal bangsa, tidak mengenal agama dan sebagainya. Salah tetap salah," tegas beliau yang juga Ketua AMK Ampang.




Comments