RCI Tabung Haji: YADIM desak tindakan undang-undang
- Azuan Ab Rahman

- Aug 10
- 1 min read

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkaitan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja, (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom (gambar) menegaskan hasil RCI perlu diterjemahkan kepada tindakan jelas, termasuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti serta tindakan sewajarnya sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
Langkah itu penting bagi memastikan amanah serta kepercayaan umat Islam terhadap institusi tersebut terus terpelihara.
"Laporan RCI bukan sekadar untuk diketahui umum, sebaliknya perlu diteliti pihak berkuasa berdasarkan fakta dan lunas undang-undang," katanya menerusi satu kenyataan.
Sultan Ibrahim baru-baru ini menitahkan agar siasatan mengenai RCI Lembaga Tabung Haji (TH) serta isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijalankan secara menyeluruh "sehingga ke lubang cacing" tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang bersalah.
Sementara itu menurut Dr Hasan, pihaknya melihat isu Tabung Haji daripada sudut amanah memandangkan dana yang diuruskan merupakan simpanan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Sehubungan itu, pengurusan dana tersebut perlu sentiasa berteraskan tadbir urus yang jelas, kawalan berkesan dan pematuhan syariah.
"YADIM juga menyokong pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan supaya dapatan RCI dijadikan asas kepada penambahbaikan tadbir urus TH," katanya lagi.




Comments