Ramai bekas ahli yang mengakui mereka tersilap langkah apabila meninggalkan parti KEADILAN.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, Larry Sng berkata pengakuan bekas ahli itu menunjukkan mereka gagal bertapak dalam parti lain selepas bertindak melompat keluar dari KEADILAN.
"Macam mana mereka yang lompat parti fikir mereka boleh dapat tempat dalam parti lain.
"Ada yang pegang jawatan tinggi dalam parti KEADILAN, ada yang jadi ketua di cabang masing-masing, tapi sanggup tinggalkan itu semua dan mulakan balik karier politik dari bawah dengan parti yang sudah pun ada ramai ketua dan pemimpinnya sendiri.
"Mereka akan ambil masa bertahun-tahun untuk capai satu tahap yang tinggi, itu pun kalau mereka sanggup mengharunginya.
"Ada yang beritahu saya mereka menyesal tinggalkan KEADILAN, tetapi sekarang tidak ada apa yang boleh dilakukan," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Bagaimanapun, Larry terbuka jika ada bekas ahli yang mahu menyertai semula KEADILAN, dengan syarat mereka perlu mendapat persetujuan daripada Majlis Pimpinan Pusat terlebih dahulu.
"Dalam politik, macam-macam perkara boleh terjadi dan kita tidaklah bermusuhan selama-lamanya.
"Asalkan berpegang kepada prinsip dan polisi yang diperjuangkan oleh KEADILAN selama ini, tidak ada masalah untuk mereka menyertai parti semula.
"Tidak kira geng Kartel mahupun Reformasi, saya akan terus membela nasib mereka yang setia dengan KEADILAN.
"Malah, tindakan lompat parti dalam KEADILAN Sarawak sudah terhenti sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan kita semakin kuat dari hari ke hari.
"Manusia tidak lari dari melakukan kesilapan, untuk memaafkan itu sifat terpuji," katanya.
Comentarios