top of page

Rais Yatim dituduh menghasut berkaitan isu institusi Diraja N Sembilan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
35 minutes ago
2 min read
TS Dr Rais Yatim di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka
TS Dr Rais Yatim di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka

Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan), Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim didakwa menghasut berhubung isu institusi Diraja Negeri Sembilan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini.


Rais, 84, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, dipetik Bernama.


Mengikut kertas pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan menghasut ketika berada di Parkroyal A’Famosa Melaka Resort, Jalan Kemus, Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira jam 1 petang pada 5 Jun lalu.


Antara kenyataan yang terkandung dalam pertuduhan itu ialah: “Mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.”


"Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar ke-12, melakukan apa-apa sahaja hal kedirajaan.


"Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan."


Rais yang juga bekas Speaker Dewan Negara didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.


Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar yang memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, barisan peguam yang mewakili Rais termasuk anaknya, Danni Rais memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan anak guam mereka memberikan kerjasama dan hadir ke mahkamah walaupun hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan kira-kira pukul 10.30 malam sebelumnya.


Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Kes berkenaan mempunyai kaitan dengan kemelut institusi Diraja dan adat Negeri Sembilan yang tercetus selepas satu majlis yang dikaitkan dengan pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada 5 Jun lalu.


Menurut laporan media tempatan, Rais hadir pada majlis berkenaan dan antara kenyataan yang menjadi asas pertuduhan ialah seruan supaya taat setia kepada Tunku Nadzaruddin.


Perkembangan itu bagaimanapun dipertikaikan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.


Pada 30 Julai lalu, Tuanku Muhriz turut menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran Negeri Sembilan yang pernah dikurniakan kepada Rais.


Pendaftar Darjah, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, dilaporkan berkata penarikan balik Darjah Seri Utama Negeri Sembilan dan Darjah Datuk Setia Negeri Sembilan itu dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan institusi Diraja Negeri Sembilan.


Rais pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982 dan kemudiannya dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara (2020-2023).


Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Jelebu dari 1974 hingga 1990 dan sekali lagi menguasai kerusi parlimen itu dari 1999 hingga 2013.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page