top of page

Pulih negara berfasa, mencabar, tekad terus bantu rakyat – Anwar

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
Aug 1
2 min read
DS Anwar berceramah pada Grand Finale HARAPAN di pekan Rompin, malam tadi
DS Anwar berceramah pada Grand Finale HARAPAN di pekan Rompin, malam tadi

Usaha memulihkan negara selepas berdepan pelbagai cabaran kewangan dan isu pentadbiran terdahulu memerlukan pendekatan berperingkat, namun kerajaan terus komited memastikan kebajikan rakyat tidak diketepikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, pentadbiran Kerajaan MADANI mengambil pendekatan berhati-hati dalam melaksanakan perubahan kerana tidak semua masalah negara boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, khususnya melibatkan beban kewangan kerajaan, kos sara hidup dan kelemahan struktur yang diwarisi.


"Kita kena buat perubahan dengan hikmah. Mana boleh buat perubahan semua sekali. Saya bagi satu-satu, sebab kerajaan juga perlu fikir kemampuan kewangan," katanya ketika berucap pada ceramah Grand Finale HARAPAN di pekan Rompin, malam tadi.


Menurut beliau, walaupun masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, kerajaan terus berusaha menyalurkan bantuan dan melaksanakan dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah, penjawat awam serta masyarakat luar bandar.


Anwar berkata, cabaran utama kerajaan ketika ini adalah mencari keseimbangan antara membantu rakyat dengan memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.


Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan tidak pernah melupakan golongan yang memerlukan bantuan, termasuk menerusi pelaksanaan bantuan bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelbagai inisiatif sokongan rakyat.


"Kalau kewangan baik, kita tambah lagi bantuan. Kita mahu bantu rakyat, tetapi kita juga mesti urus kewangan negara dengan bertanggungjawab," katanya.


Anwar berkata, pengalaman hidupnya sebagai rakyat biasa memberi kefahaman mendalam terhadap kesukaran yang dihadapi masyarakat, terutama apabila berdepan tekanan kos kehidupan.


"Saya anak kampung. Saya tahu susah. Sebab itu apabila diberi amanah, saya mahu pastikan kerajaan memahami penderitaan dan masalah rakyat," katanya.


Beliau turut menyentuh usaha memperbaiki nasib pekerja dan peneroka Felda, termasuk penyelesaian terhadap isu hutang lama serta penambahbaikan kemudahan asas.


Menurutnya, kerajaan turut meluluskan peruntukan bagi membaiki rumah pekerja Felda yang sudah lama tidak diselenggara selain memperluas kemudahan seperti pusat dialisis supaya rakyat luar bandar tidak perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.


"Kita dengar masalah rakyat. Mana sekolah perlukan perhatian, mana kemudahan kesihatan diperlukan, kita cuba laksanakan mengikut kemampuan kerajaan," katanya.


Perdana Menteri berkata, proses pemulihan negara bukan sekadar membabitkan pembangunan fizikal, tetapi juga usaha membina semula keyakinan rakyat terhadap tadbir urus yang bersih, berintegriti dan berorientasikan kebajikan.


Beliau menegaskan kerajaan akan terus memperbaiki kelemahan yang ada sambil memastikan prinsip amanah dan tanggungjawab dalam mengurus negara menjadi keutamaan.


"Ada kelemahan, ada kesalahan, dan semuanya boleh diperbaiki. Yang penting kita jangan ambil duit negara, itu yang paling penting," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page