PRU awal: Tidak perlu layan gesaan pihak kemaruk kuasa - Dr Fuziah
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Tiada keperluan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dipercepatkan ketika Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti hampir dua pertiga dan penggal Parlimen masih berbaki lebih setahun.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, Kerajaan Perpaduan perlu diberikan ruang menghabiskan penggal pentadbiran bagi meneruskan agenda reformasi dan memperbaiki negara.
"Sampai bila lagi kita masih asyik dengan (isu) memendekkan penggal demi mereka yang kemaruk dengan kuasa.
"Biarlah kerajaan ini meneruskan reformasi dan memperelokkan semula negara. Sesudah itu biar rakyat menilai sebaiknya di kertas undi," katanya dipetik laporan media.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkongsi pandangan lebih baik PRU16 diadakan lebih awal sebelum menghampiri penghujung penggal Parlimen pada hujung tahun depan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, langkah itu bagi membolehkan mandat untuk mentadbir kerajaan Persekutuan diperoleh kembali daripada rakyat menerusi pilihanraya.
Senada dengan pandangan Dr Fuziah, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Hasbie Muda menegaskan, tiada keperluan untuk PRU16 dipercepatkan sebab kerajaan sekarang ada majoriti yang cukup besar.
Beliau mendakwa pihak yang mahukan PRU16 diadakan lebih awal mungkin bimbang dengan ketegasan kerajaan dalam usaha membanteras rasuah dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
"Kalau mereka tidak terlibat atau tidak ada kaitan dengan kerja-kerja rasuah, mereka tidak perlu takut," tegas beliau.




Comments