Program Back to School: 30 pelajar DUN Batang Kali terima bantuan MBI
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) terus komited memastikan keperluan persekolahan anak-anak di negeri itu tidak terabai.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, MBI melaksana inisiatif bantuan persekolahan sepanjang tahun menerusi Program Back to School bagi memenuhi keperluan asas murid terjamin, sekaligus meringankan beban ibu bapa.
"Bantuan Yayasan MBI ini bukanlah sepenuhnya, tetapi cukup untuk melengkapi kekurangan yang ada," katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.
Hantaran itu menyusul program serahan bantuan tunai RM100 di bawah Program Back to School kepada 30 pelajar dari DUN Batang Kali pada Ahad.
Sementara itu, Saifuddin yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor menerusi hantaran sama menegaskan komitmen Kerajaan Negeri yang sentiasa mahu anak-anak di negeri itu mendapat pendidikan terbaik.
Justeru jelasnya, sekiranya terdapat kes murid yang memerlukan bantuan berterusan,perkara itu akan dirujuk kepada Lembaga Zakat Selangor atau Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya.
"Manakala Kementerian Pendidikan masih mengekalkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
"DI Hulu Selangor sendiri, beberapa agensi lain seperti Majlis Perbandaran Hulu Selangor turut melaksanakan inisiatif ‘endowment’ sarapan percuma bagi meringankan beban keluarga," katanya.
Menerusi hantaran itu Saifuddin menyatakan harapan agar sumbangan diterima akan membawa manfaat. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan yang bertungkus lumus memastikan program ini berjalan lancar.
"30 wajah anak-anak yang gembira hari ini cukup mengujakan hati kita. Masih ada lagi baki 60 penerima yang saya akan buat serahan dari masa ke semasa," tambahnya.
Comments