PRN Sabah: Nurul Izzah ke Segama, suntik semangat jentera KEADILAN
- Suara Keadilan
- 41 minutes ago
- 1 min read

KEADILAN Sabah, menzahirkan penghargaan atas kehadiran Timbalan Presiden Parti, Nurul Izzah Anwar pada program Jelajah Harapan Urang Sabah di Dewan Utama Segama, Lahad Datu, baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kehadiran Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihanraya KEADILAN bukan sahaja menyuntik semangat baharu kepada jentera parti, malah memperkukuh iltizam KEADILAN Sabah untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
"Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Presiden KEADILAN yang berkongsi mesej perjuangan membina masa depan negara berteraskan nilai keadilan dan kemanusiaan.
"Kehadiran beliau memberi inspirasi kepada warga Lahad Datu dan ahli parti daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook KEADILAN Sabah.
Program Jelajah Harapan Urang Sabah merupakan kesinambungan usaha KEADILAN Sabah dalam menjelaskan dasar dan agenda Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya berkaitan pembangunan menyeluruh untuk rakyat Sabah.
Majlis turut menyaksikan penyertaan beberapa profesional muda berusia bawah 35 tahun ke dalam parti, mencerminkan keyakinan generasi baharu terhadap perjuangan KEADILAN.
Sebagai simbol kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, program turut disertai dengan penyerahan bendera Pusat Daerah Mengundi (PDM) kepada wakil akar umbi, menandakan kesiapan jentera parti di setiap peringkat.





