Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Klias dan DUN Tempasuk menyaksikan KEADILAN berdepan pertandingan 6 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Calon KEADILAN, Abdul Rahman Md Yakub kembali bertanding di DUN Klias selepas bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.
Malah, KEADILAN sendiri kembali bertanding di DUN Klias, selepas kerusi itu dipertandingkan oleh Warisan pada PRU-14 namun tewas kepada penyandang, Isnin Aliasnih.
Isnin juga kembali mempertahankan kerusinya namun berdepan cabaran kerana pada PRU-14, beliau menang di bawah logo Barisan Nasional (BN) namun kali ini beliau bertanding sebagai calon parti Bersatu dan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Empat lagi calon yang bertanding adalah Maksit Saidi dari Parti Gagasan Rakyat Sabah, Abdullah Okin dari Parti Cinta Sabah, Amsir Dani dari USNO dan Jismit Japong muncul satu-satunya calon Bebas.
Sebanyak 16,905 pengundi berdaftar di DUN Klias.
Pada PRU-14, Isnin meraih 6,173 undi dengan majoriti 2,336 menewaskan Lajim Ukin dari Parti Harapan Rakyat Sabah yang meraih 3,837 undi dan Johair Mat Lani dari Warisan yang meraih 3,725 undi.
Di DUN Tempasuk, calon KEADILAN yang bertanding iaitu Mustapha Sakmud kembali buat kali kedua meskipun mengalami kekalahan pada PRU-14.
Beliau akan sekali lagi berdepan penyandang kerusi, Musbah Jamli yang sudah memenangi kawasan itu sejak 1994.
Walaubagaimanapun, Musbah yang sebelum ini bertanding sebagai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan tampil sebagai calon Bebas kali ini.
Ini setelah beliau bertindak keluar UMNO dan menyertai Warisan pada tahun lalu, namun setelah dipecat kerana menunjukkan sokongan kepada Musa Aman, beliau kini tidak mewakili mana-mana parti.
BN sebaliknya mencalonkan bekas naib ketua pemuda UMNO, Mohd Arsad Bistari.
Tiga lagi calon lain adalah bekas pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Sabah, Hamzah Sundang yang menjadi calon USNO, Abd Alif Saibeh selaku calon Parti Cinta Sabah dan Kanul Gindol sebagai calon Parti Gagasan Rakyat Sabah.
Sebanyak 11,996 pengundi berdaftar di DUN Tempasuk.
Pada PRU-14, Musbah meraih 7,742 undi dengan majoriti 1,994 menewaskan Mustapha yang meraih 5,478 undi, Suwah Bulleh dari Parti Solidariti Tanah Airku (1,494 undi) dan Mustaqim Aling dari PAS (521 undi).
留言