PRN N Sembilan: Tok Min gempur Linggi dengan jiwa berani
- Noraini Nordin

- Jul 19
- 2 min read

Sorotan Khas PRN NS: Semalam Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan bahawa beliau adalah pahlawan sejati yang berani bertarung dalam kubu kuat BN iaitu N32 Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Aminuddin yang lebih mesra dengan panggilan Tok Min melangkah gagah menuju dewan pencalonan dengan diiringi ribuan penyokong Pakatan Harapan (PH) termasuk pimpinan pusat daripada gabungan parti tersebut.
Ejekan dan sindiran sinis langsung tidak menggugatkan semangat Menteri Besar Negeri Sembilan ini untuk terus memposisikan dirinya dengan pantas menjadi pilihan pengundi DUN Linggi bagi PRN kali ini.
Kerja keras Tok Min di Linggi semakin dihargai pengundi yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.
Sambut baik Tok Min
Sebagai anak jati DUN Linggi, penulis sendiri teruja menyambut kehadiran Tok Min sebagai calon DUN tersebut.
Sejak sebulan lalu gelanggang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, paling menarik untuk diperkatakan.
Keputusan Tok Min berpindah daripada DUN Sikamat, kawasan yang diwakilinya sejak 2008 untuk bertanding di Linggi menjadi bualan paling hangat.
Berikutan sudah lama menakluk Sikamat, kawasan itu boleh dianggap kawasan paling selamat buat beliau.
Kubu kuat Umno
Ia tentunya berbeza dengan Linggi yang merupakan kawasan baharu baginya serta dikenali sebagai kubu kuat Umno sejak sekian lama.
Malah sekadar rekod, ketika Tan Isa Samad menjadi Menteri Besar daripada tahun 1982 hingga 2004, Linggi adalah tapak untuknya bertanding.
Selepas Isa tidak lagi menjadi ADUN di kawasan berkenaan, Linggi tetap merupakan kawasan yang selamat kepada BN dengan ADUNnya sekarang ialah Mohd Faizal Ramli daripada UMNO.
Ertinya keputusan Aminuddin berpindah daripada Sikamat ke Linggi adalah tindakan berani yang memperlihatkan jiwa pahlawan ada dalam dirinya.
Memandangkan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, pertembungan sebenar ialah antara PH dengan BN yang ingin mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, ini bermakna keberanian Tok Min berpindah ke Linggi adalah mesej penting kepada rakyat.
Beliau semacam mendapat ilham daripada tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan lawan di Tambun pada Pilihan Raya Umum 2022 lalu, sedangkan Presiden KEADILAN tersebut ketika itu sudah ada kawasan selamat di Port Dickson.
Berikutan keberanian Anwar itulah yang menjadi antara punca PH mampu beroleh lonjakan sokongan rakyat sehingga mampu memenangi 82 kerusi Parlimen.
Mengalahkan lawan
Dengan bertanding di Linggi itu, Tok Min menunjukkan beliau menolak keselesaan, sebaliknya sanggup untuk berlawan dan mengalahkan lawan.
Lebih daripada itu, tindakannya itu juga bererti beliau kini ada dua cabaran besar yang mesti diharunginya - mesti menang di Linggi dan menang juga mempertahankan Kerajaan Negeri.
Bukan calang-calang pemimpin berani serta sanggup menghadapi cabaran seperti ini. Apabila memiliki pemimpin yang berani sepertinya, rakyat pasti akan berasa lebih selamat.
Rakyat Negeri Sembilan akan kerugian sekiranya pengundi tidak memberi sokongan kepada Tok Min di Linggi sebagaimana pengundi Sikamat menyokongnya sebelum ini.
Dan paling kerugian tentunya jika membiarkan PH tidak lagi mentadbir Negeri Sembilan.




Comments