top of page

PRN: KEADILAN bakal ketengahkan calon mampu menangi hati pengundi

  • Writer: Noraini Nordin
    Noraini Nordin
  • Jun 13
  • 2 min read
Nurul Izzah memberikan amanat dalam program latihan sistem pengurusan pilihanraya TERAS hari ini
Nurul Izzah memberikan amanat dalam program latihan sistem pengurusan pilihanraya TERAS hari ini

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar yakin parti itu mampu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dengan menampilkan calon-calon berwibawa yang mampu memenangi hati rakyat.


Beliau berkata, hasil penelitian terhadap senarai calon-calon khususnya di Johor mendapati ramai profesional dan individu berkelayakan menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat menerusi platform KEADILAN.


Menurut Nurul Izzah pemilihan calon bukan sekadar tertumpu kepada muka baharu, sebaliknya individu yang mempunyai rekod baik dalam menyantuni masyarakat serta mampu membawa aspirasi rakyat di kawasan masing-masing.


"Harapan saya ialah calon yang diketengahkan bukan sahaja muka baharu kepada parti tetapi mereka yang sudah dikenali dan disenangi rakyat kerana komitmen mereka terhadap masyarakat," katanya dalam sesi wawancara Eksklusif bersama Suara KEADILAN di Seremban, hari ini.


Dalam mengulas perkembangan politik Johor, Nurul Izzah berkata, kejayaan pembangunan negeri itu tidak boleh dilihat sebagai hasil usaha kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya turut melibatkan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.


Beliau menjelaskan pelbagai projek pembangunan strategik termasuk infrastruktur dan pengangkutan memerlukan sokongan kedua-dua pihak bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.


Mengulas mengenai persiapan menghadapi pilihanraya pula, Nurul Izzah mengakui landskap politik semasa penuh cabaran dan sering menyaksikan pelbagai perkembangan tidak dijangka.


Namun, katanya, parti perlu sentiasa bersedia dan mengambil setiap cabaran sebagai peluang untuk memperkukuh strategi serta meningkatkan keupayaan jentera di lapangan.


Penggunaan teknologi AI


Nurul Izzah turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam kempen politik masa kini.

Noraini sedang menemubual Nurul Izzah
Noraini sedang menemubual Nurul Izzah

Beliau berkata sistem dan teknologi hanya akan berkesan sekiranya digerakkan dengan komitmen anggota parti di peringkat akar umbi, selain memerlukan penyelarasan komunikasi yang lebih mantap antara pelbagai pasukan yang terlibat.


"Isu yang dibangkitkan perlu diterjemahkan dalam bentuk komunikasi yang berkesan kepada rakyat. Fakta sahaja tidak mencukupi jika tidak disampaikan dengan cara yang mampu menyentuh emosi dan kefahaman masyarakat," katanya.


Beliau turut menyifatkan sambutan menggalakkan dalam pelancaran jentera pilihanraya di kedua-dua negeri sebagai petanda positif, namun menegaskan momentum tersebut perlu dikekalkan sehingga hari pengundian.


Menurut beliau, aspek logistik dan keupayaan membawa pengundi keluar mengundi juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan sasaran kerusi yang ditetapkan dapat dicapai.


Dalam masa sama, Nurul Izzah menegaskan Pakatan Harapan menawarkan kestabilan politik dan pentadbiran yang mewakili pelbagai kaum sebagai kekuatan utama gabungan itu.


Katanya, kerjasama antara masyarakat Melayu, Cina dan India amat penting dalam memastikan pembangunan negeri serta negara dapat diteruskan secara mampan, selain menghadapi cabaran semasa termasuk ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.


Bagi Negeri Sembilan, beliau memuji kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang disifatkan berjaya membawa perubahan ketara termasuk dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan.


Menurutnya, pelaburan dalam pendidikan merupakan antara contoh terbaik bagaimana kerajaan negeri boleh membina masa depan generasi muda secara berterusan.


Sementara itu, mengenai Johor, Nurul Izzah berkata PH perlu terus memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pembangunan negeri dengan membawa idea baharu serta menawarkan semak dan imbang yang konstruktif dalam pentadbiran.


Beliau berharap kerjasama dalam gabungan PH akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan rakyat dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

1 Comment


Ken Ken
Ken Ken
Jun 13

Terbaik Nurul.... harap kerap muncul supaya pengundi kebih yakin dengan PH/Keadilan.

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page