PM turun padang, teliti sendiri isu akar umbi
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih pendekatan turun padang ke setiap daerah di seluruh negara bagi meneliti sendiri isu rakyat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, langkah itu penting supaya Kerajaan MADANI tidak hanya bergantung kepada laporan peringkat atasan, sebaliknya mendengar terus pandangan masyarakat serta pegawai pelaksana di lapangan.
"Selain pertemuan dengan Kerajaan Negeri sejak tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk turun langsung ke daerah atau jajahan di Kelantan ini.
"Saya ke jajahan Pasir Puteh, apabila sampai, kita dapat menumpukan perhatian kepada projek-projek rakyat kecil atau besar yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung," katanya dipetik.
Anwar semalam hadir merasmikan Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa.
Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sementara itu menurut Anwar, lebih sering pemimpin kerajaan turun mengadakan lawatan turun padang, pemimpin akan lebih memahami permasalahan dibangkitkan.
"Maknanya kerajaan itu tidak hanya melihat dari atas, tetapi mendengar dari akar umbi," katanya.
Terminal baharu LTSIP mampu menampung sehingga 4 juta penumpang berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Pantai Timur merangkumi sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
"Terminal baharu yang lebih besar, selesa dan kondusif ini membuktikan ikhtiar Kerajaan MADANI dalam merancakkan ekonomi Kelantan dan Pantai Timur secara keseluruhannya," kata Perdana Menteri.




Comments