PM jamin ambil tindakan ke atas warga asing buka perniagaan kecil
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan akan memperhebat tindakan terhadap warga asing yang didapati menyalahgunakan permit perniagaan dan visa pelawat untuk menjalankan aktiviti perniagaan di negara ini, susulan kebimbangan bahawa kegiatan tersebut berpotensi menjejaskan peluang ekonomi rakyat tempatan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan warga Rohingya (Myanmar), Bangladesh dan Aceh (Indonesia) yang sebelum ini dikaitkan dengan operasi warung, kedai runcit dan perniagaan di pasar borong, malah kini turut membabitkan sebahagian warganegara China yang didakwa menjalankan pelbagai perniagaan kecil menggunakan visa pelancong atau pelajar.
"Dalam cara tindakan kita itu harus berperikemanusiaan, tapi kadang-kadang ia (kegiatan salah guna itu) menghalang pekerjaan anak-anak tempatan.
"Sekarang sudah meningkat, banyak juga dari negara China yang datang (menggunakan) visa pelancong tetapi buka perniagaan-perniagaan kecil (seperti menjadi) mekanik biasa, (mewujudkan) syarikat-syarikat kecil, (membuka) kedai-kedai kopi (dan) ini juga menimbulkan keresahan.
"Oleh itu kerajaan tidak ada pilihan, jadi kerajaan menetapkan umpamanya, kalau peniaga-peniaga mereka mesti mendaftarkan perniagaan mereka menggunakan alamat tetap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Komunikasi sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian itu, di Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan, Teo Nie Ching.
Anwar berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk merampas lesen dan permit yang disalahgunakan oleh warga asing untuk menjalankan perniagaan, sambil menyifatkan amalan menggunakan permit tempatan itu sebagai satu bentuk penipuan.
"Ia sebagaimana (tindakan penguatkuasaan) yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana merupakan satu penipuan.
"Sudah daftar, kemudian jual kepada syarikat asing. Baru ini ada tindakan penguatkuasaan di Semporna, Sabah.
"Hotelnya milik negara China, tukang ejen pelancong (juga) dari China, kenderaan (pula) dimiliki oleh masyarakat asing.
"Akhirnya ada bantahan yang besar daripada penduduk tempatan. Jadi sekarang kerajaan terpaksa memberi isyarat yang jelas (bahawa kegiatan seperti itu) tidak boleh (dilakukan) dan badan-badan penguatkuasa harus ambil tindakan," tegas Anwar lagi.




Comments