PM Anwar tekankan reformasi pendidikan menjelang RMK-13
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Pelan Induk Pendidikan Negara disemak semula supaya lebih relevan dengan cabaran semasa.
Beliau menekankan keperluan agar strategi dan hala tuju baharu pendidikan negara direncana secara berani dan menyeluruh menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
"Pendekatan sedia ada perlu disegarkan agar pelaburan dalam RMK-13 membuahkan sistem pendidikan yang adil, berwawasan dan mampan.
"Setiap pelaburan mesti membawa hasil kepada masa depan negara yang lebih makmur," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu beliau menerima menerima kunjungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.
Antara isu dibincangkan pada perbincangan itu termasuk pendidikan prasekolah, latihan guru, pembangunan profesional berterusan (CPD), pengukuhan bidang STEM, pengajian Tingkatan Enam, matrikulasi serta isu keciciran murid.
Sementara itu Anwar menyatakan harapan agar segala intipati dan iltizam daripada perbincangan itu dapat digerakkan secara tersusun, menyeluruh dan berani demi masa depan anak-anak, pendidik serta keseluruhan ekosistem pendidikan negara.
"Dunia sedang berubah pantas dan kita boleh berpuas hati dan terperangkap dengan nostalgia atau terikat dengan perancangan silam yang mungkin sudah tidak lagi relevan," tambahnya.