Pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang bertujuan menangani trend peningkatan isu penyalahgunaan data peribadi dijangka dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata cadangan rang undang-undang pindaan tersebut telah diluluskan oleh Kabinet bagi memastikan perundangan perlindungan data peribadi di negara ini selaras dengan piawaian, perubahan serta perkembangan undang-undang global.
"Cadangan pindaan Akta 709 ini adalah untuk penambahbaikan dasar khususnya dari aspek keselamatan dan penguatkuasaan dalam menangani isu pelanggaran dan penyalahgunaan data peribadi di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perlindungan terhadap data peribadi merupakan antara agenda reformasi yang dijanjikan dalam pentadbiran yang dibawa oleh Pakatan Harapan sebelum ini.
Gobind berkata pindaan itu bagi menangani isu penyalahgunaan data peribadi ekoran statistik jumlah aduan yang diterima dari Oktober 2023 hingga Mac lepas menunjukkan peningkatan 5.1% membabitkan 322 aduan penyalahgunaan dan pelanggaran data peribadi.
"Sebanyak 157 aduan telah diterima pada suku keempat 2023 manakala 165 aduan diterima pada suku pertama tahun 2024. Bagi statistik pelanggaran data peribadi secara khususnya, trend meningkat dengan lebih ketara iaitu sebanyak 41 peratus pada 2024 berbanding 2023," katanya.
Gobind berkata menurut laporan statistik Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sebanyak 34,497 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM1.218 bilion telah dilaporkan di seluruh negara tahun lepas.
"Berdasarkan statistik 2023 tersebut, kes jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan SMS, tipu penyamaran di talian dan tipu panggilan telefon antara kes tertinggi yang direkodkan dengan 10,348 kes membabitkan kerugian RM352.9 juta," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata cadangan utama pindaan antaranya mewajibkan pemakluman mengenai pelanggaran data peribadi, penambahan tanggungjawab pematuhan oleh pemproses data dan pelantikan Pegawai Perlindungan Data (DPO).
Cadangan lain adalah memperkenalkan hak kemudahalihan data kepada subjek data dan memansuhkan keperluan pewartaan tempat yang dibenarkan untuk pemindahan mana-mana data peribadi ke luar negara, katanya.
"Dalam merangka cadangan pindaan Akta 709 ini, Pesuruhjaya Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) turut mengambil kira input dan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan melalui pelbagai sesi libat urus," katanya.
Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bersidang bermula 24 Jun hingga 18 Julai ini.
Comments