Pimpinan AMK Pusat nilai kesiapsiagaan AMK Melaka hadapi PRN
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat turun padang mengadakan mesyuarat khas bersama pimpinan AMK Melaka semalam bagi melaksanakan audit dalaman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Delegasi pusat itu diketuai Timbalan Ketua AMK Pusat, Izuan Kasim, bersama Setiausaha AMK Pusat, Omar Mokhtar serta Setiausaha Pengelola AMK, Afif Abdullah.
Menurut kenyataan AMK Melaka, sesi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AMK Pusat untuk memastikan setiap jentera di peringkat negeri berada dalam keadaan bersiap-siaga, tersusun dan berfungsi sepenuhnya menjelang pilihan raya.
"Mesyuarat ini merupakan sebahagian daripada usaha AMK Malaysia untuk memastikan setiap jentera negeri berada dalam keadaan bersiap-siaga, teratur dan berfungsi dengan sepenuhnya dalam menghadapi pertarungan pilihan raya yang semakin hampir," kata kenyataan itu.
Audit berkenaan meliputi penilaian menyeluruh terhadap kekuatan organisasi, keupayaan jentera kempen serta tahap mobilisasi anak muda di peringkat negeri dan kawasan.
Dalam pada itu, AMK Melaka menyambut baik kehadiran serta bimbingan pimpinan pusat yang dilihat sebagai manifestasi komitmen bersama dalam memperkukuh gerak kerja parti di negeri berkenaan.
"AMK Melaka menyambut baik kunjungan dan bimbingan daripada pimpinan pusat ini sebagai tanda komitmen bersama dalam memastikan Angkatan Muda KEADILAN Melaka dapat memenangi kepercayaan rakyat Melaka terutama blok pengundi generasi muda," kata kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, PRN Melaka dijadual diadakan pada hujung tahun apabila tempoh DUN matang pada Oktober ini.




The best thing about Drive Mad is the constant sense of progress. Even failed attempts help you understand the track a little better.