“Pihak lawan bimbang Nurul Izzah mula turun padang dengan sistem TERAS”
- Hasbul Ahmad

- May 29
- 2 min read
Updated: May 30

Kebimbangan mulai timbul dalam kalangan parti lawan susulan penglibatan aktif Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar) yang kini memberi fokus kepada pengukuhan jentera akar umbi serta pelaksanaan sistem pilihanraya TERAS di seluruh peringkat organisasi parti.
Setiausaha Kerja KEADILAN Johor, Muhd Ezaddin Abdul Rahman berkata, sistem TERAS yang dibangunkan Nurul Izzah sebelum ini mula digerakkan secara lebih agresif sebagai platform latihan jentera dan penyelarasan gerak kerja pilihanraya, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan KEADILAN menghadapi Pilihan Raya Umum ke 16 yang dijangka seawal hujung tahun ini.
"Penglibatan langsung Nurul Izzah di lapangan serta tumpuan beliau terhadap latihan jentera dilihat memberi impak besar kepada pengukuhan organisasi parti di peringkat cabang dan ranting, selain meningkatkan tahap koordinasi dan disiplin gerak kerja.
"Apabila beliau mula turun padang dengan sistem TERAS, ia memberi kesan langsung kepada kekuatan jentera. Ini yang mungkin menimbulkan kebimbangan kepada pihak lawan kerana ia bukan sekadar struktur, tetapi penggerakan akar umbi secara sistematik," kata Ezaddin kepada Suara Keadilan.

Tambah beliau, pendekatan memperkukuh jentera akar umbi melalui latihan berstruktur dan penggunaan sistem digital dilihat sebagai antara strategi utama parti bagi memastikan semua anggota lebih bersedia, tersusun dan berfungsi sebagai satu pasukan dalam menghadapi cabaran pilihanraya.
"Gabungan antara kepimpinan yang turun padang dan sistem pengurusan jentera moden seperti TERAS mampu meningkatkan kecekapan operasi pilihanraya serta memperkukuh kekuatan akar umbi parti secara menyeluruh," katanya.
Jentera Johor, Melaka, Negeri Sembilan rasa ‘gelombang TERAS’
Dalam pada itu Ezaddin berkata, di negeri-negeri yang berkemungkinan berdepan pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat, suasana di kalangan jentera KEADILAN di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan misalnya dilihat mula berubah apabila sistem TERAS diperkenalkan secara lebih meluas di akar umbi.
Katanya pendekatan TERAS berserta turun padang sebagai sesuatu yang “lebih tersusun dan dekat dengan kerja lapangan”, selain membuka ruang untuk mereka lebih aktif dalam gerak kerja pilihanraya.
"Kalau sebelum ini kita banyak tunggu arahan, sekarang nampak lebih jelas apa yang perlu dibuat. Latihan, data, gerak kerja semua lebih teratur.
"Di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, gerakan awal pelaksanaan sistem ini difahamkan sudah mula dibincangkan secara tidak formal di peringkat cabang, dengan fokus untuk memastikan setiap ranting lebih bersedia menghadapi PRN atau PRU.
"Bagi sesetengah anggota, kehadiran sistem TERAS ini juga memberi semangat baharu kerana ia bukan sahaja soal teknologi, tetapi cara kerja yang lebih “hidup” dan melibatkan semua orang.
"Bila semua rasa mereka ada peranan, itu yang buat kita lebih kuat," kata Ezaddin lagi.
Sistem TERAS ialah sebuah sistem pengurusan pilihanraya digital dipacu Kecerdasan Buatan (AI) bagi menggerakkan operasi kempen berasaskan data, bertujuan memperkukuh strategi, memperkemas gerak kerja jentera parti dan menguruskan pilihan raya dengan lebih tersusun dan cekap.
Sistem TERAS dibangunkan berasaskan empat elemen utama, antaranya “Nexus” yang berfungsi sebagai pusat arahan (command centre) dipantau rapi pengurus kempen pilihan raya dan “Pulse” sebagai "nadi rakyat" di mana jentera parti turun ke padang mengumpul dan memasukkan data bagi menganalisis isu-isu semasa serta sentimen pengundi di peringkat akar umbi.




Comments