Peto Galim calon terbaik wakili rakyat N18 Inanam - Nurul Izzah
- Suara Keadilan
- 13 hours ago
- 2 min read

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mengajak rakyat Sabah meneliti dan membandingkan pencapaian setiap parti yang pernah memerintah negeri itu supaya pilihan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berasaskan rekod prestasi dan bukannya retorik semata-mata.
Beliau berkata, pada PRN ini, calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bertanding atas dasar melunaskan janji serta mengekalkan kesinambungan momentum berdasarkan rekod prestasi kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah.
"Pendekatan ini lebih penting daripada menawarkan pelbagai janji baharu kerana rakyat berhak menilai kemampuan PH melalui tindakan serta hasil kerja yang telah digerakkan.
"Kita bercakap berdasarkan pencapaian, bukan menawarkan bulan, bintang atau cakerawala, tetapi lebih kepada concrete realisation," katanya dipetik ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Tunai Janji di Kampung Dambai, Inanam pada Selasa.
Turut bersama pada program tersebut ialah calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Datuk Peto Galim.
Sementara itu menurut Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN itu, Peto Galim merupakan calon yang layak mewakili penduduk kawasan tersebut.
Jelasnya, antara bukti prestasi calon adalah tindakan pantas membantu mangsa kebakaran di kampung berkenaan dengan menyediakan tapak kediaman baharu selain menggerakkan usaha menggazetkan Kampung Kionsom sebagai kampung tradisi.
"Langkah yang cepat, tuntas untuk menyediakan tapak kediaman yang telah hangus dan ini bukannya mudah, ini bukan dilakukannya ketika pilihanraya. Saya juga hargai usaha Datuk Peto menggazetkan Kampung Kionsom.
"Penting untuk kita memberi peluang kepada beliau untuk kita bergerak ke fasa seterusnya bagi menunaikan harapan rakyat Sabah, insyaAllah," katanya.
Pada PRN ke-17, Peto akan berdepan saingan 13 penjuru bagi mempertahankan DUN Inanam yang terletak dalam Parlimen Sepanggar.
Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 membabitkan 73 kerusi DUN dipertandingkan, ditetapkan pada 29 November manakala undi awal pada 25 November ini.





