Pertandingan wau bulan semarak tradisi Melayu di DUN Tanjung Lumpur
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Tradisi Melayu terus disemarakkan menerusi Pertandingan Wau Bulan Dua Kategori anjuran KRT Pinggiran Putra 3 DUN Tanjung Lumpur dengan kerjasama Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Program yang berlangsung di Gelanggang Terbuka Rekreasi PPRS Pinggiran Putra 3 baru baru ini, mempertandingkan dua kategori utama iaitu Wau Gagah dan Wau Cantik.
Pengerusi KRT Pinggiran Putra 3, Zairi Abdul Halim berkata, pertandingan tersebut bertujuan menyemarakkan warisan layang-layang Melayu agar terus dihayati generasi muda di Bandaraya Kuantan.
"Tradisi wau bulan bukan baharu. Ia boleh dirujuk sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka di sekitar abad ke-15 lagi. Kita mahu anak muda hari ini faham, seni ini ada nilai sejarah dan identiti bangsa," katanya.

Beliau turut memuji sambutan penyertaan yang memberangsangkan pada edisi kali ini. Menurutnya, kejayaan program ini akan dijadikan pencetus untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti seumpamanya pada masa akan datang.
Ahli Majlis MBK merangkap Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bagi kedua-dua kategori Wau Gagah dan Wau Cantik.
"Saya berharap program seperti ini diteruskan lagi. Bila budaya tradisi Melayu subur di kalangan generasi muda, identiti kita tidak akan hilang ditelan arus moden. Masyarakat juga perlu didedahkan dengan pelbagai jenis Wau dan teknik pembuatan wau agar seni ini terus hidup dan diwarisi," kata Fakhrul Anuar.
Fakhrul turut menzahirkan penghargaan kepada KRT Pinggiran Putra 3 atas inisiatif menghidupkan semula seni warisan yang semakin dilupakan. Beliau komited memberi sokongan agar program kebudayaan dan kemasyarakatan seumpama ini dapat diperluas ke kawasan lain di Kuantan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri bersama pimpinan wanita dan komuniti setempat.




Comments