Persimpangan KIWA dibuka hujung September, mudahkan akses ke KLIA, SIC
- Helmi Mohd Foad

- 33 minutes ago
- 2 min read

Selepas sekian lama berdepan kesesakan, pengguna jalan raya di sekitar Kota Warisan, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dan laluan utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal menikmati aliran trafik lebih lancar apabila laluan aras bawah jejambat Persimpangan KIWA (FT29/FT32) dijangka dibuka sepenuhnya pada penghujung September ini.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata projek menaik taraf persimpangan berkenaan kini memasuki fasa akhir dengan kerja pembinaan berjalan lancar, termasuk pemasangan sepenuhnya sistem lampu isyarat di persimpangan bawah jejambat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata lawatan kerja ke tapak projek itu dilakukan bagi meninjau sendiri perkembangan semasa serta memastikan pelan pengurusan trafik berada pada tahap terbaik sebelum laluan dibuka kepada pengguna.
"Berdasarkan momentum dan dinamika kerja semasa di tapak, laluan aras bawah jejambat ini dijangka dibuka sepenuhnya pada penghujung September 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aiman Athirah, pembukaan yang pada asalnya dirancang pada Ogos lalu mengalami sedikit anjakan bagi memastikan semua aspek teknikal, termasuk ujian sistem lampu isyarat dan kemasan jalan, memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata, keselamatan pengguna jalan raya perlu diberikan keutamaan sebelum laluan berkenaan dibuka sepenuhnya.
"Sedikit anjakan daripada garis masa asal, iaitu Ogos 2026, adalah bagi memastikan segala aspek teknikal, ujian sistem lampu isyarat dan kemasan jalan memenuhi piawaian keselamatan JKR yang ketat demi mengelakkan sebarang risiko kepada orang awam," katanya.
Projek itu turut mendapat perhatian penting ketika Sepang bakal menjadi tumpuan dunia dengan kepulangan Formula 1 ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan peruntukan sekitar RM16 juta bagi persiapan dan kerja menaik taraf SIC sempena penganjuran semula perlumbaan Formula 1 di Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari dipetik sebagai berkata kerajaan setakat Ogos lalu telah mengeluarkan RM16 juta bagi persiapan penganjuran berkenaan.
Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 dijadual berlangsung di SIC pada Oktober ini sekali gus menandakan kembalinya Formula 1 ke Sepang selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.
Dalam konteks itu, peningkatan keupayaan jaringan jalan raya di sekitar Kota Warisan, BBST, KLIA dan SIC dilihat penting bagi menyokong pergerakan penduduk tempatan serta kelancaran trafik ketika berlangsungnya acara berskala antarabangsa berkenaan.
Aiman Athirah berkata pembukaan Persimpangan KIWA bukan sahaja dijangka membantu mengurangkan kesesakan kronik terutama pada waktu puncak malah mampu memperkukuh jaringan logistik di daerah Sepang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR Sepang, pengurus projek dan kontraktor utama, RD Resources Sdn Bhd, atas komitmen memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut keperluan teknikal dan keselamatan.
Beliau berharap kerja-kerja fasa akhir projek berkenaan dapat diselesaikan tanpa sebarang gangguan cuaca yang melampau supaya sasaran pembukaan pada penghujung September dapat direalisasikan.
"Terima kasih kepada seluruh warga Sepang atas kesabaran yang tinggi sepanjang tempoh pembinaan ini dijalankan.
"Pembukaan persimpangan ini kelak bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan kronik pada waktu puncak, malah bakal menjadi pemacu kepada kelancaran jaringan logistik di daerah kita," katanya.




Comments