Perlukah baju sekolah dijahit peserta NADI jadi bahan politik?
- Sidiqin Omar

- 35 minutes ago
- 2 min read

Skim pembelian baju sekolah secara ansuran yang dipromosikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tidak seharusnya disalah tafsir sebagai arahan kerajaan kepada ibu bapa supaya menukar baju sekolah baharu secara bayaran ansuran.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim berkata, hakikat bahawa skim berkenaan direstui oleh Menteri Pendidikan tidak bermakna kerajaan memaksa ibu bapa membeli pakaian sekolah baharu.
Sebaliknya, katanya, skim itu merupakan satu pilihan yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa yang memerlukan kemudahan pembayaran secara ansuran, bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan.
"Baju sekolah itu dijahit oleh peserta NADI dan ditawarkan melalui satu skim pembayaran ansuran. Ia bukan bermaksud kerajaan mengarahkan semua ibu bapa membeli baju sekolah baharu.
"Kalau seseorang ibu bapa masih mempunyai baju sekolah yang elok dan boleh digunakan, tidak ada keperluan untuk menukarnya semata-mata kerana skim ini diperkenalkan," katanya kepada Suara Keadilan.

Fakharuddin berkata, masyarakat khususnya orang Melayu perlu membezakan antara program yang ditawarkan kerajaan dengan arahan atau kewajipan yang dikenakan kerajaan.
Katanya, kecenderungan untuk menganggap setiap inisiatif kerajaan sebagai sesuatu yang dipaksakan kepada rakyat hanya kerana ia diumumkan atau dipromosikan oleh seorang menteri merupakan persepsi yang tidak membantu.
"Kalau ada pilihan untuk membeli secara ansuran, mereka yang merasakan ia membantu boleh mengambil peluang tersebut. Yang tidak memerlukannya pula tidak perlu menyertainya.
"Jangan kerana Menteri Pendidikan mempromosikan skim itu, terus dianggap kerajaan memaksa ibu bapa membeli baju baharu. Itu tidak tepat," katanya.
Beliau turut menyeru orang Melayu supaya mengubah cara berfikir dan tidak terlalu mudah menerima naratif yang menggambarkan setiap usaha kerajaan secara negatif.
Menurutnya, budaya menyalahkan kerajaan terhadap setiap perkara akhirnya boleh menyebabkan masyarakat gagal melihat manfaat sesuatu dasar atau program yang sebenarnya menawarkan pilihan dan kemudahan kepada rakyat.
"Kita perlu ubah pemikiran. Jangan setiap kali kerajaan memperkenalkan sesuatu inisiatif, kita terus mencari salah dan menuduh kerajaan membebankan rakyat.
"Kalau program itu memberi pilihan kepada rakyat dan membantu mereka yang memerlukannya, kita patut melihat manfaatnya terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan," katanya.
Fakharuddin berkata, pendekatan lebih rasional penting supaya masyarakat dapat menilai sesuatu dasar berdasarkan fakta, bukan semata-mata berdasarkan persepsi atau sentimen politik.
"Kerajaan juga perlu diberikan ruang untuk memperkenalkan pelbagai pendekatan bagi membantu rakyat. Pada masa sama, rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih sama ada mahu menggunakan sesuatu kemudahan yang ditawarkan atau tidak," katanya lagi.




Comments