Perkukuh tadbir urus Tabung Haji, kawal selia lebih ketat
- Helmi Mohd Foad

- 51 minutes ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong langkah pengurusan baharu Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memperkukuh tadbir urus institusi itu, termasuk cadangan pindaan terhadap Akta Tabung Haji bagi memastikan pengurusan pelaburan dikawal dengan lebih ketat.
Perdana Menteri berkata, beliau telah menerima taklimat daripada pengurusan baharu TH dan berpandangan langkah yang sedang diambil ketika ini adalah sesuai bagi memastikan pengurusan institusi berkenaan lebih tersusun serta mempunyai mekanisme kawalan yang lebih kukuh.
"Saya dengar taklimat mereka dan menyokong langkah-langkah, termasuk beberapa cadangan pindaan kepada Akta Tabung Haji supaya pengurusan itu dikawal lebih ketat," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang hari ini.
Beliau ditanya mengenai cadangan supaya pelaburan Tabung Haji dikawal selia di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata cadangan berhubung struktur pengawasan dan pindaan akta berkenaan masih perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat kerajaan.
Beliau berkata langkah memperkukuh tadbir urus TH perlu memastikan kelemahan yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang.
Menurutnya pengurusan institusi berkenaan perlu mempunyai kawalan yang lebih ketat bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memastikan amanah yang diberikan kepada TH terus terpelihara.
"Ini supaya pengurusan dikawal lebih ketat oleh SC atau Bank Negara supaya tidak terlepas seperti mana yang berlaku sebelum ini," jelas beliau.
Anwar berkata usaha memperkemas tadbir urus TH juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda lebih besar kerajaan untuk memastikan pengurusan institusi awam dilaksanakan secara telus, berhemah dan bertanggungjawab.
Beliau pada masa sama menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan ekonomi terus kukuh, kebajikan rakyat terbela dan usaha membanteras rasuah serta penyalahgunaan kuasa diteruskan.
"Sekarang ini fokus ekonomi, fokus kesejahteraan rakyat dan membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan rasuah," katanya.




Comments