Perkasa akses pendidikan digital kanak-kanak perempuan - Fadhlina


Pendidikan digital kanak-kanak perempuan perlu diperkukuh dengan memastikan akses, kemahiran dan peluang pembelajaran saksama khususnya bagi murid di kawasan luar bandar dan komuniti terpinggir.
Ketua Wanita KEADILAN, Datuk Seri Fadhlina Sidek dipetik laporan media berkata, eranti semata-mata tidak mencukupi tanpa infrastruktur memadai, akses kepada pembelajaran digital serta peningkatan kemahiran guru, termasuk dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menerusi sesi Forum Ekonomi Wanita di Kuala Lumpur pada Rabu, Menteri Pendidikan itu menegaskan pendidikan ialah hak setiap kanak-kanak, manakala akses dan peluang pembelajaran digital bermakna amat penting demi masa depan mereka.
"Justeru, pada tahun ini, beberapa inisiatif seperti program K9 dan K11 diperkenalkan bagi membantu kanak-kanak di kawasan pedalaman meneruskan persekolahan, merangkumi pendidikan di peringkat rendah dan menengah.
"Selain itu, akses pendidikan turut diperluas kepada komuniti yang kurang mendapat kemudahan menerusi pelaksanaan inisiatif khas. Namun, memastikan kanak-kanak perempuan terus bersekolah hanyalah langkah permulaan.
"Cabaran seterusnya adalah memastikan mereka benar-benar dapat memanfaatkan teknologi," katanya.
Forum Ekonomi Wanita yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober itu menghimpunkan pemimpin wanita global, pembuat dasar, tokoh korporat, usahawan dan penggerak perubahan dari pelbagai negara bagi memperkukuh kepimpinan wanita, memperluas peluang ekonomi serta memacu pembangunan mampan dan inklusif.
Fadhlina pada sesi tersebut turut menegaskan usaha melindungi kanak-kanak di alam maya memerlukan kerjasama menyeluruh antara ibu bapa, pihak sekolah, kerajaan dan syarikat teknologi.
Menurutnya, lima peratus pelajar di Malaysia dilaporkan mengalami buli siber, termasuk penyebaran maklumat memudaratkan mengenai mereka tanpa kebenaran, berbanding purata tiga peratus di negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Sehubungan itu menurutnya, pendidikan kewarganegaraan digital, pemikiran kritis serta nilai saling menghormati perlu diperkukuh, selain penyediaan mekanisme aduan yang mudah diakses, sokongan psikologi dan tindakan susulan berkesan bagi menangani kes gangguan siber.




Comments