Perjanjian ART: Langkah Strategik Ke Hadapan, Bukan Malapetaka Negara
- Suara Keadilan
- 35 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Mohd Yusmadi Mohd Yusoff
ULASAN: Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, baru-baru ini menggelar Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) sebagai “perjanjian paling buruk sejak Merdeka.”
Kenyataan sedemikian bersifat dramatik tetapi tidak selari dengan realiti kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Malaysia memerlukan perbahasan yang matang dan berpaksikan bukti, bukan tafsiran yang digerakkan oleh ketakutan atau pandangan sempit politik antarabangsa era lalu.
Masih terperangkap ruang lingkup Perang Dingin
Salah satu kelemahan utama dalam hujah Tommy Thomas ialah cara pandangnya yang masih terikat kepada kerangka Perang Dingin — seolah-olah kerjasama dengan satu kuasa besar bermaksud berpihak dan bermusuhan dengan kuasa besar yang lain. Ini adalah perspektif lama yang tidak mencerminkan landskap geopolitik masa kini.
Dunia hari ini tidak lagi unipolar seperti era 1990an. Ia telah berubah menjadi dunia multipolar dengan pelbagai pusat kuasa — China, Amerika Syarikat (AS), India, Kesatuan Eropah, Jepun, Turkiye dan rantau-rantau lain. Malaysia sebagai kuasa pertengahan menggunakan kelebihan dunia multipolar untuk memastikan kepentingan ekonomi, kestabilan dan masa depan strategiknya lebih terjamin. Kerjasama Malaysia dengan AS tidak sekali-kali menafikan hubungan erat dengan China, atau mana-mana kuasa lain.
Malaysia hari ini adalah sebuah negara yang diiktiraf sebagai hab semikonduktor global, pemain utama rantau ASEAN, dan suara berprinsip dalam isu-isu global seperti keadilan antarabangsa. Dengan kedudukan sebegini, Malaysia tidak boleh duduk di pinggir perkembangan dunia. Malaysia perlu berinteraksi secara terbuka, yakin dan strategik.
Perjanjian: Perkataan “Shall” tidak bawa maksud seperti didakwa
Sebahagian besar kebimbangan Tommy Thomas bertumpu kepada perkataan “shall” dalam perjanjian tersebut. Namun dalam undang-undang antarabangsa, “shall” tidak semestinya membawa maksud kewajipan undang-undang yang keras seperti dalam konteks undang-undang domestik.
Makna “shall” bergantung kepada konteks, struktur teks perjanjian, dan sifat instrumen tersebut. Dalam banyak perjanjian antarabangsa, “shall” digunakan untuk menyatakan niat bersama, aspirasi kerjasama atau prosedur, bukan kewajipan mutlak yang boleh dikuatkuasakan.
Lebih penting, perjanjian ini tidak mewujudkan tribunal, penalti, atau mekanisme penguatkuasaan yang membolehkan AS memaksa Malaysia bertindak bertentangan dengan undang-undang atau kepentingannya. Oleh itu, tafsiran bahawa “shall” bermaksud penyerahan kedaulatan adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan realiti struktur perjanjian.
Perjanjian ini tidak menyentuh Perlembagaan Persekutuan, tidak mengikat Malaysia kepada mahkamah asing, tidak memaksa Malaysia menyokong sekatan AS, dan tidak menjejaskan Petronas atau aset strategik negara. Malaysia kekal mempunyai kawalan penuh ke atas dasar dalam dan luar negara.
Perubahan ekonomi global tuntut Malaysia lebih proaktif
Ekonomi dunia sedang berubah secara drastik. Persaingan teknologi, penyusunan rantaian bekalan dan pelaburan bernilai tinggi menuntut kerjasama strategik yang bijaksana. Malaysia berada di tengah-tengah perubahan ini. Perjanjian ini bukan ancaman; ia adalah peluang untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi masa hadapan.
Malaysia sudah lama mengamalkan dasar luar berasaskan keseimbangan. Kerjasama dengan AS tidak menjejaskan hubungan Malaysia–China, Malaysia–EU, Malaysia–Timur Tengah atau rakan-rakan ASEAN. Ini selaras dengan realiti dunia multipolar yang memerlukan jaringan rakan strategik yang lebih luas.
Institusi Malaysia teguh dan berpengalaman
Malaysia mempunyai perkhidmatan awam, pakar undang-undang dan diplomat berpengalaman yang telah merundingkan pelbagai perjanjian antarabangsa selama puluhan tahun.
Menyatakan Malaysia telah “ditipu” adalah meremehkan kebijaksanaan institusi negara.
Perjanjian Timbal Balas Malaysia–AS bukan suatu penyerahan, tetapi keputusan strategik untuk mengukuhkan daya saing negara dalam dunia multipolar yang semakin kompleks. Ia bukan “perjanjian terburuk sejak Merdeka,” tetapi cerminan Malaysia moden yang yakin, matang dan berdaulat.
Malaysia tidak ditarik oleh sesiapa. Malaysia melangkah sendiri — dengan yakin dan tegas.
Penulis merupakan seorang peguam dan mantan Ahli Dewan Rakyat & Dewan Negara, Parlimen Malaysia.





