top of page

Penyatuan ummah: MCA lantang main isu Melayu-Islam, mengapa DAP disalahkan?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 28 minutes ago
  • 2 min read

Rakyat Malaysia, khususnya pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diseru agar tidak mudah terpengaruh atau terpancing dengan propaganda berhubung isu penyatuan Melayu-Islam tajaan BN-PN, sebaliknya menilai setiap dakwaan parti-parti politik berkenaan secara objektif.


Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni (gambar) berkata berdasarkan pemerhatiannya, sekiranya Pas benar benar mahu penyatuaan ummah maka parti itu tidak wajar bersama gabungan yang ada MCA di dalamnya kerana parti berkenaan lebih lantang membangkitkan isu berkaitan Melayu-Islam berbanding DAP.


"Saya melihat mereka ini (MCA) lebih vokal berbanding DAP. Jadi janganlah melabelkan parti tertentu itu sebagai rasis dan radikal tanpa menilai maklumat yang sahih.


"Berdasarkan apa yang kita lihat dalam politik, DAP ini jarang bersikap ‘keras’, sebaliknya hanya segelintir pemimpinnya (DAP) membangkitkan persoalan atau meminta penjelasan.


"Namun perkara itu dimanipulasi sehingga mereka dilihat menentang kepentingan orang Melayu dan Islam," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan MCA yang sebelum ini dilaporkan pernah membantah pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, selain pemimpin mudanya mempersoalkan larangan pengambilan minuman keras di pantai awam Port Dickson, Negeri Sembilan. Bagaimanapun, DAP pula yang 'dikambing hitamkan' dalam pelbagai isu berkaitan Islam dan orang Melayu.


Dalam pada itu, Ustaz Mohd Zawawi berkata, DAP telah menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 atau selama tiga penggal, namun agama Islam dan hak orang Melayu tetap terpelihara tanpa terhakis sejak hampir 20 tahun lalu.


"Bahkan masjid dan surau (semakin) bertambah dan (pembinaannya) juga tiada bantahan daripada DAP.


"Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh umat Islam dan orang Melayu jangan mudah terpancing dengan propaganda dan juga perkara tidak benar yang disebarkan parti-parti politik.


"Nilailah setiap ungkapan-ungkapan di media sosial dengan akal yang waras dan matang," ujar beliau yang juga mantan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis.


Terdahulu, tular satu grafik digital memaparkan himpunan tajuk berita mengenai pendirian MCA sejak 2019, termasuk bantahan Pemuda MCA terhadap pelaksanaan tulisan Jawi dalam silibus sekolah vernakular pada 2019.


Selain itu, tajuk berita itu antara lain turut memaparkan gesaan MCA menangguhkan pelaksanaan modul Hadis 40 dalam silibus pendidikan (2024) serta bantahan terhadap larangan pengambilan minuman keras di kawasan rekreasi dan pantai awam di Negeri Sembilan (2026).

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page