Penstriman langsung prosiding mahkamah elak persepsi negatif - MCW
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 1 min read

Cadangan kerajaan untuk melaksanakan penstriman langsung perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Rayuan dilihat dapat meningkatkan ketelusan dengan membolehkan rakyat sendiri melihat proses kehakiman itu.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam kenyataan berkata kemudahan itu juga berupaya mengelak pelbagai persepsi negatif yang timbul khususnya di media sosial tanpa benar-benar memahami proses perundangan.
"Langkah ini merupakan satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara, khususnya dalam kes-kes rasuah yang melibatkan kepentingan awam.
"Selama ini, banyak persepsi dan naratif yang terbentuk di media sosial tanpa memahami sepenuhnya proses perundangan di mahkamah," kata kenyataan itu.
MCW berkata melalui slot siaran langsung membolehkan rakyat menyaksikan sendiri hujah pihak pendakwaan, pembelaan serta pertimbangan hakim berdasarkan fakta dan undang-undang.
"Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan manipulasi maklumat dan spekulasi yang tidak berasas.
"Selain itu, langkah tersebut berupaya berpotensi menjadi instrumen pendidikan undang-undang kepada masyarakat," kata beliau.
Dengan akses kepada prosiding sebenar, masyarakat akan lebih memahami bahawa sistem keadilan memerlukan proses yang teliti, bukannya sekadar sentimen atau tekanan awam, katanya.
Namun MCW berpandangan beberapa perkara perlu diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan dengan lancar dan tidak menjejaskan prinsip perbicaraan yang adil.
Antaranya ialah garis panduan teknikal dan etika yang jelas, termasuk kawalan terhadap rakaman, penyuntingan semula klip prosiding, serta penyebaran kandungan di media sosial supaya tidak disalah tafsir atau dimanipulasi di luar konteks sebenar, ujarnya.
Selain itu, MCW mengesyorkan supaya penstriman ini dilaksanakan melalui platform rasmi kehakiman negara dengan arkib rakaman yang tersusun untuk rujukan awam.
"Ini penting bagi memastikan rakyat mendapat sumber maklumat yang sahih dan tidak bergantung kepada potongan video yang mungkin diedit oleh pihak tertentu," katanya.




Comments