Pengguna dilindungi, KPDN bentang RUU e-Dagang tahun hadapan


Kerajaan MADANI bakal memperkukuh kawal selia urus niaga dalam talian menerusi Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, draf awal RUU tersebut sudah disiapkan dan kini sedang melalui proses penambahbaikan sebelum dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.
"Dalam kebanyakan kes, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berperanan sebagai perunding atau pengantara di antara usahawan dalam talian ini dengan penyediaan pasaran.
"Ketika ini belum ada perundangan khusus bagi mengawal selia e-dagang justeru cadangan RUU itu sebagai usaha memperkukuhkan akauntabiliti platform dan penjual dalam talian," katanya dipetik laporan media.
Terdahulu, Setiausaha Agung KEADILAN itu menghadiri Majlis Penutup Program Akses Peruncitan 2026 di Kuantan pada Ahad.
Dr Fuziah sementara itu menjelaskan, KPDN bertanggungjawab kepada semua rantaian perdagangan seperti pengedaran, pemborongan dan peruncitan termasuk e-dagang.
Justeru, RUU tersebut disasarkan untuk memperkukuh kerangka kawal selia industri perdagangan digital yang semakin berkembang, termasuk memastikan platform e-dagang beroperasi mengikut piawaian dan tanggungjawab ditetapkan.
"Perkembangan pesat transaksi dalam talian turut meningkatkan keperluan terhadap perlindungan pengguna, keselamatan produk serta ketelusan urus niaga.
"RUU ini langkah penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih adil antara platform antarabangsa dengan peniaga tempatan," jelasnya.




Comments