Pendidikan pondok perlu terus diangkat - PM


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan memperkukuh pendidikan pondok dan mendekatkan generasi muda kepada khazanah ilmu Islam sebagai asas membentuk masyarakat yang beriman, berakhlak dan bertanggungjawab.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat di Pondok Mujamma’ Ibnu Sunni Al-Talaqqi (MUSHTAQ), Pendang, yang turut menghimpunkan para tuan guru, ulama serta masyarakat setempat, semalam.
Menurut Anwar, beliau memilih untuk mendengar terlebih dahulu nasihat dan pandangan para tuan guru kerana kedudukan seseorang tidak seharusnya menjadikan mereka jauh daripada ilmu dan pandangan golongan yang mendalami kitab serta warisan ulama.
Beliau turut menekankan bahawa sejarah bangsa tidak dapat dipisahkan daripada institusi pondok dan pesantren yang memainkan peranan dalam memelihara iman, ilmu serta jati diri masyarakat.
Katanya, jasa para tuan guru yang terus mendidik masyarakat walaupun berdepan pelbagai kekurangan perlu terus dihargai.
"Kita mesti terus mengangkat martabat pendidikan pondok dan mendekatkan generasi muda kepada khazanah ilmu Islam kerana dunia boleh berubah sepantas mana sekalipun, kemajuan hanya membawa kebaikan apabila dipandu oleh iman, akhlak dan rasa tanggungjawab terhadap sesama insan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata prinsip hikmah dan ihsan perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan umat Islam, termasuk ketika menegakkan keadilan dan melaksanakan amanah.
Beliau berkata ketegasan dalam mempertahankan prinsip perlu disertai kasih sayang supaya ilmu dapat membentuk masyarakat yang lebih jujur, santun ketika berbeza pandangan dan peka terhadap kesusahan orang lain.
Beliau berharap masyarakat terus dibimbing untuk menjadi umat yang teguh iman, luas ilmu, indah akhlak serta membawa rahmat kepada seluruh masyarakat.




Comments