Pencerobohan Menteri Israel di Masjid Al-Aqsa dikecam - Dr Zulkifli


Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Menteri Keselamatan rejim Israel, Itamar Ben-Gvir, yang mengetuai pencerobohan bersama ribuan peneroka haram ke pekarangan Kompleks Masjid Al-Aqsa, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai provokasi melampau terhadap kesucian tapak suci umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, pencerobohan tersebut merupakan pencabulan terhadap status quo Masjid Al-Aqsa serta tindakan yang disengajakan bagi mencetuskan ketegangan agama.
Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja mencabuli kesucian kiblat pertama umat Islam, malah merupakan provokasi yang boleh membakar sentimen keagamaan.
"Pencerobohan keji ini bukan sahaja satu pencabulan terang-terangan terhadap kesucian kiblat pertama umat Islam dan status quo tapak suci tersebut, malah merupakan satu tindakan sengaja yang biadab bagi membakar sentimen serta mencetuskan provokasi keagamaan secara melampau," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, tindakan rejim Zionis itu memperlihatkan sikap yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta hak kebebasan beragama.
"Kezaliman yang direncana oleh rejim Zionis ini memperlihatkan sifat sebenar mereka yang menindas dan langsung tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta hak kebebasan beragama," ujarnya.
Dr Zulkifli menegaskan bahawa Masjid Al-Aqsa merupakan hak umat Islam yang perlu dipertahankan dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera terhadap insiden tersebut.
"JPM menuntut badan antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak pantas dan tegas menghentikan kebiadaban berterusan ini," katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan terus menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin selaras dengan semangat Malaysia MADANI serta mengajak umat Islam memperkukuh perpaduan dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Dalam kenyataan sama, beliau menyeru umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk terus bersatu serta menyatakan penentangan terhadap segala bentuk pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa.
"Kami menyeru seluruh umat Islam di tanah air dan serata dunia untuk terus menyatukan fikrah, memperkasakan doa dan menyatakan penentangan tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan ini.
"Moga Allah SWT memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa dan mengurniakan pertolongan serta kemenangan hakiki buat bumi Palestin," katanya lagi.




Comments