Penangguhan Geran Khas Sabah ruang tambahan perincian kiraan - Mustapha
- Azuan Ab Rahman

- Apr 7
- 1 min read

Perintah penggantungan pelaksanaan penghakiman semakan dan pembayaran geran khas 40 peratus hasil kepada Sabah perlu dilihat sebagai ruang masa tambahan untuk memperincikan aspek pengiraan geran itu secara lebih teliti, telus dan berintegriti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, keputusan Mahkamah Rayuan semalam tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlahankan atau menghentikan momentum kerja dan usaha yang sedang berjalan.
"Saya menggesa supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah meneruskan proses pengiraan, pengesahan data dan rundingan teknikal yang telahpun dimulakan sebelum ini.
"Momentum kerja yang telah dibina tidak wajar dihentikan. Sebaliknya, ia perlu diperkukuh agar formula pengiraan dan jumlah bayaran yang adil serta tepat dapat dimuktamadkan secepat mungkin," katanya dalam kenyataan.
Mustapha sementara itu menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan adalah jelas dalam memastikan hak Sabah dilaksanakan menerusi pendekatan bertanggungjawab, berasaskan fakta dan kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri.
Dalam masa sama beliau menyeru semua pihak agar mengambil kira situasi kewangan negara ketika berusaha mencapai penyelesaian tersebut susulan peperangan di Asia Barat.
"Keutamaan sekarang ialah memastikan kesan krisis dapat diminimumkan dan kebajikan rakyat terus mendapat perhatian," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Sabah menyatakan pendirian untuk menghormati keputusan semalam.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan mengekalkan status quo sehingga rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.




Comments