top of page

Penahanan 288 individu bukti kerajaan tegas tangani ajaran sesat - Dr Zulkifli

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Penahanan 288 individu yang dikaitkan dengan ajaran Qadiani membuktikan ketegasan Kerajaan MADANI dalam mengekang penyebaran ajaran sesat, selain memperkukuh pelan jangka panjang melibatkan penguatkuasaan, pemantauan digital dan kerjasama pelbagai agensi.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, kerajaan amat tegas tentang perkembangan ajaran sesat dan penyelewengan akidah yang menular dalam kalangan masyarakat khususnya orang Islam.


"Tangkapan dan penahanan 288 orang individu yang dikaitkan dengan ajaran Qadiani adalah bukti ketegasan kerajaan termasuk Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri untuk mengekang penyebaran ajaran sesat dan menyeleweng yang cuba meracuni masyarakat daripada berpegang dengan akidah yang betul berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sentiasa menjalankan pemantauan terhadap mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng yang disebarkan melalui platform digital.


"Maklumat yang diperolehi akan disalurkan kepada pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk diambil tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.


Menurut Dr Zulkifli lagi, pihak kerajaan melalui JAKIM sentiasa mengadakan penyelarasan dengan pihak berkuasa agama negeri bagi mengambil tindakan mengikut had bidang kuasa negeri masing-masing.

Antara platform utama penyelarasan tindakan itu kata Dr Zulkifli ialah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menangani Ancaman Akidah Peringkat Kebangsaan (JAPAS) yang dianggotai oleh pelbagai agensi persekutuan dan wakil daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh Malaysia.


"Fokus utama mesyuarat ini adalah pengukuhan kerjasama antara agensi berkaitan isu ancaman akidah terkini, penyelarasan tindakan penguatkuasaan, strategi pencegahan melalui pendidikan dan dakwah.

"Melalui mesyuarat ini, semua pihak dapat berkongsi maklumat terkini, mengenal pasti cabaran baharu, dan merangka pelan tindakan bersepadu bagi melindungi akidah umat Islam di Malaysia.


"Selain itu, dari sudut penyelarasan operasi bagi melaksanakan tindakan risikan, siasatan dan pendakwaan, JAKIM mengurusetiakan Persidangan Ketua-ketua Pegawai Penguatkuasa Agama dan Ketua Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia sebagai platform penyelarasan bersama dengan negeri-negeri bagi menguatkuasakan Akta, Enakmen, Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page