Pemukiman khas ketua ketua penerangan, Konvensyen PH di Johor - Fahmi
- Hasbul Ahmad

- 6 days ago
- 2 min read

Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan pemukiman khas Ketua-ketua Penerangan Pakatan Harapam akan berlangsung pada 15 hingga 16 Mei di Johor Bahru, diikuti Konvensyen Pakatan Harapan pada 17 Mei sebagai usaha memperkukuh keselarasan dan kesiapsiagaan jentera parti.
Menurut beliau, jemputan akan dihantar kepada semua pemimpin dengan penekanan khusus terhadap kehadiran wakil dari Johor, Negeri Sembilan dan Melaka bagi menzahirkan perpaduan serta komitmen menghadapi cabaran semasa.
"Jemputan akan dikeluarkan. Pimpinan terutama rakan-rakan dari Johor, Negeri Sembilan dan Melaka wajib hadir beramai-ramai untuk membuktikan bahawa dalam KEADILAN kita kukuh. Dalam Pakatam Harapan kita bersatu-padu.
"InsyaAllah kita bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan," kata Fahmi dalam ucapan di Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya “TERAS” di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, semalam.
Fahmi turut menegaskan bahawa kedua-dua program tersebut menjadi platform penting untuk menyatukan mesej komunikasi dan memperkemas strategi penerangan.
"Ini adalah paluan awal untuk kita menyusun langkah dengan lebih berdisiplin. Kita tidak boleh bergantung kepada pihak lain untuk menjadi kuat. Kita mesti membina kekuatan sendiri," kata Menteri Komunikasi itu lagi.

Dalam pada itu Fahmi menzahirkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang dilihat memperlekeh usaha misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, sambil menegaskan misi tersebut lahir daripada semangat kemanusiaan dan pendirian prinsip Malaysia terhadap isu Palestin.
Beliau berkata, Malaysia sejak sekian lama tidak mengiktiraf Israel dan konsisten menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin.
Justeru, menurutnya, usaha melibatkan misi flotilla itu bukan bersifat politik kepartian, sebaliknya berakar daripada nilai kemanusiaan sejagat.
"Kita mesti bersatu hati memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang berdepan risiko demi menyatakan pendirian kemanusiaan," katanya.
Fahmi turut menggesa agar rakyat tidak berpecah dalam isu tersebut, sebaliknya menghargai keberanian peserta Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan, termasuk beberapa tokoh yang turun ke lapangan.
Beliau turut merujuk kepada penglibatan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang menurutnya menunjukkan komitmen terhadap solidariti kemanusiaan.




Comments