Pemimpin MCA pertikai kerjasama BN-Pas di N Sembilan
- Helmi Mohd Foad
- 58 minutes ago
- 2 min read

Sejurus selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan barisan calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam tadi, seorang pemimpin MCA, parti komponen BN mempersoalkan dakwaan wujudnya persefahaman dengan "kawan" yang dipercayai merujuk kepada Pas.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung (gambar) meluahkan kekeliruannya selepas pemimpin BN sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa gabungan itu tidak bekerjasama dengan Pas namun kenyataan yang berbeza didakwa dibuat semasa kempen di Negeri Sembilan.
Malam tadi, BN mengumumkan 25 calon yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan termasuk calon daripada MCA dan MIC dalam usaha gabungan itu merampas semula pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir sejak 2018.
Jumlah itu adalah 11 kerusi kurang daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan dilaporkan berkata pengumuman calon bagi baki 11 kerusi akan dibuat kemudian kerana gabungan itu mempunyai kerjasama dengan "parti rakan yang boleh dipercayai".
Kata Yee Fung, sewaktu berkempen di Johor minggu lalu partinya memberitahu pengundi bahawa BN tidak sama sekali bekerjasama dengan Pas.
"Kami tidak bekerjasama dengan Pas. Jika mahu menghalang gelombang hijau (Pas), undilah Barisan Nasional," katanya.
Menurut beliau, sebaliknya kenyataan Mohamad semalam menimbulkan persoalan selepas seorang pemimpin Pas kemudiannya mengesahkan wujudnya kerjasama antara UMNO dan Pas.
Beliau berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada sebarang persefahaman berkenaan telah dipersetujui oleh MCA termasuk Presiden dan barisan kepimpinan tertinggi parti.
"Adakah MCA telah bersetuju? Adakah Presiden telah bersetuju? Adakah Majlis Presiden telah memberikan persetujuan? Apakah sebenarnya persefahaman yang dimaksudkan?" soalnya.
Yee Fung turut mempersoalkan sama ada prinsip perjuangan parti, khususnya berkaitan sekularisme dan demokrasi masih menjadi pegangan.
"Kita mempertahankan nilai sekularisme dan demokrasi selama ini. Adakah semua itu kini sudah diketepikan? Adakah kita kini menerima politik berteraskan pemerintahan agama?
"Di mana garis merah kita? Di mana prinsip yang selama ini dipertahankan?" katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pendekatan itu didorong oleh pertimbangan politik, termasuk untuk meraih undi, mendapatkan jawatan atau meningkatkan peluang kemenangan di kawasan bercampur.
Yee Fung berkata MCA sebelum ini sering mengkritik DAP kerana didakwa berubah selepas memegang tampuk pemerintahan namun beliau mengingatkan perkara sama tidak seharusnya berlaku kepada partinya.
"Kita selalu mengatakan DAP akhirnya menjadi seperti apa yang suatu ketika dahulu mereka sendiri paling benci. Tetapi bagaimana pula dengan kita? Bukankah kita juga kini sedang menuju ke arah yang sama?
"Maaf, saya mempunyai idealisme politik tersendiri dan saya tidak mampu bersetuju dengan pendekatan ini," katanya.
