Pembebasan Al-Aqsa penentu maruah umat Islam — MAPIM
- Redzuan Shamsudin
- 21 hours ago
- 2 min read

Maruah umat Islam pada masa kini diukur melalui keupayaan umat mempertahankan dan membebaskan Masjid Al-Aqsa serta bumi Palestin daripada penjajahan Israel, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).
Beliau berkata selagi Palestin terus berada di bawah penjajahan dan Al-Aqsa berada dalam cengkaman ketenteraan Israel, selagi itu maruah umat Islam di seluruh dunia akan terus tercabar.
"Maruah umat Islam pada zaman ini sering diukur pada satu persoalan besar, iaitu sama ada umat mampu membebaskan Al-Aqsa dan Palestin daripada penjajahan Zionis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azmi, isu Palestin bukan sekadar konflik wilayah, sebaliknya ia berkait rapat dengan aqidah, sejarah, kemanusiaan dan maruah umat Islam secara keseluruhan.
Beliau menjelaskan bahawa Al-Aqsa mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah Islam sebagai kiblat pertama umat Islam dan tanah para nabi, selain menjadi simbol kesatuan umat.
"Al Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam, tanah para nabi, serta simbol kesatuan umat. Apabila ia dihina dan diceroboh, seluruh umat sebenarnya sedang diuji," katanya.
Dalam konteks geopolitik semasa, Mohd Azmi berkata Palestin kini menjadi medan pertembungan antara kuasa yang menyokong Israel dengan gerakan penentangan di rantau Timur Tengah.
Beliau berkata Iran antara negara yang menonjol dalam menyokong perjuangan Palestin sejak Revolusi Iran 1979 dengan meletakkan pembebasan Palestin sebagai agenda utama dasar luarnya.
Menurut beliau, Iran secara terbuka memberi sokongan politik, kewangan dan ketenteraan kepada beberapa gerakan penentangan Palestin seperti Hamas dan Palestinian Islamic Jihad, yang sering dirujuk sebagai sebahagian daripada rangkaian “Axis of Resistance”.
"Sokongan ini dilihat oleh banyak pihak sebagai usaha menyeimbangkan kekuatan Israel yang disokong kuat oleh Amerika Syarikat dan sekutunya," katanya.
Mohd Azmi berkata ketegangan yang semakin meningkat antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa isu Palestin kini telah berkembang menjadi titik pertembungan kuasa geopolitik global.
Namun beliau menegaskan bahawa pembebasan Palestin tidak boleh bergantung kepada satu negara sahaja.
"Pembebasan Palestin tidak boleh bergantung kepada satu negara sahaja. Ia memerlukan kebangkitan kesedaran seluruh umat Islam, kerjasama negara negara Islam, tekanan politik antarabangsa serta keteguhan rakyat Palestin sendiri," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah menunjukkan penjajahan tidak akan berakhir hanya melalui retorik, sebaliknya memerlukan gabungan ketabahan rakyat yang dijajah, sokongan luas umat serta perubahan imbangan kuasa global.
Sehubungan itu, Mohd Azmi menyeru umat Islam agar membina kesatuan politik dan strategi bersama dalam mempertahankan Palestin.
"Jika umat terus berpecah, Palestin akan terus menjadi mangsa. Tetapi jika umat bersatu, pembebasan Al-Aqsa bukan lagi mimpi yang jauh," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Al-Aqsa bukan sekadar tanah Palestin, tetapi simbol maruah umat Islam seluruh dunia.
