Pembangunan bukan tumpu projek mega, utamakan kesejahteraan rakyat - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pembangunan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan berskala besar sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada kesejahteraan serta keperluan sebenar rakyat.
Perdana Menteri berkata pembangunan yang tidak mengambil kira keperluan masyarakat, termasuk aspek perumahan mampu milik, alam sekitar dan kualiti kehidupan akan mewujudkan jurang antara kemajuan fizikal dengan kesejahteraan rakyat.
"Justeru itu, rakan-rakan dalam usaha pembinaan mahupun perancangan tentunya lebih berupaya melihat pembangunan bukan sekadar pembinaan gedung-gedung yang gah dan megah.
"... tetapi turut mengambil kira beberapa faktor lain termasuk teknologi, kos, keperluan semasa, pemeliharaan alam sekitar dan keindahan," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian International Construction Week (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata transformasi industri pembinaan negara perlu diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat khususnya melalui penyediaan rumah mampu milik dan infrastruktur berkualiti.
"Transformasi industri pembinaan kita akhirnya mesti diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat khususnya dalam penyediaan rumah mampu milik.
"Jika tidak, jurang antara projek mega dan bangunan berskala besar dengan keperluan sebenar rakyat akan terus melebar sedangkan projek-projek tersebut tidak memberikan manfaat yang sewajarnya kepada kesejahteraan majoriti rakyat," katanya.
Beliau berkata kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) menetapkan sasaran menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030 sebagai memenuhi aspirasi nasional membina satu juta unit rumah bagi tempoh 2026 hingga 2035.
Menurut beliau penggunaan teknologi dalam industri pembinaan perlu membantu mempercepatkan penyediaan kediaman tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti, keselesaan dan kos.
"Teknologi mesti membantu kita menyediakan rumah dengan lebih cekap tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti, keselesaan untuk didiami dan kos (terkawal)," katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan pembangunan bandar di Malaysia tidak seharusnya hanya meniru model bandar maju seperti London atau New York tanpa mengambil kira perbezaan iklim, persekitaran dan keutamaan masyarakat tempatan.
"Namun menganggap bahawa sesebuah bandar moden seperti Kuala Lumpur mesti menyerupai London atau New York adalah sesuatu yang tidak munasabah pada pandangan saya.
"Hal ini kerana iklim, persekitaran dan keutamaan setiap bandar adalah berbeza. Oleh itu, kita memerlukan perancangan dan strategi yang berbeza serta bersesuaian dengan keadaan tempatan," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa pembangunan industri pembinaan perlu mengambil kira aspek kualiti bahan binaan, keindahan reka bentuk, identiti tempatan dan pemeliharaan alam sekitar.
Beliau berkata pembangunan yang mengabaikan aspek berkenaan hanya akan menghasilkan "hutan konkrit" yang tidak mencerminkan keperluan sebenar masyarakat.
"Jika tidak, kita akan kembali ke titik permulaan iaitu pembentukan dan pembinaan hutan konkrit yang mengabaikan kepentingan kualiti dan alam sekitar selain mengetepikan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat," katanya.
Anwar turut menegaskan kontraktor tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tidak boleh diketepikan dalam proses transformasi industri pembinaan.
Menurutnya golongan itu perlu diberikan akses kepada pengetahuan, latihan, teknologi dan peluang perniagaan bagi membolehkan mereka turut serta dalam ekosistem pembinaan baharu.
"Kita juga mesti memastikan kontraktor tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak ketinggalan dalam proses transformasi ini.
"Mereka mesti diberikan akses kepada pengetahuan, latihan, teknologi dan peluang perniagaan yang diperlukan untuk turut serta dalam ekosistem pembinaan baharu ini," katanya.
Beliau berkata kejayaan transformasi industri pembinaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah teknologi yang diperkenalkan atau projek yang disiapkan semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau kejayaan perlu dinilai berdasarkan keupayaan yang dibangunkan, peluang kepada perniagaan tempatan, kualiti rumah dan infrastruktur yang disediakan serta sumbangan kepada ekonomi negara.
"Marilah kita bersama-sama membangunkan sebuah industri yang terus mempunyai keupayaan untuk berkhidmat dan memenuhi keperluan rakyat," katanya.




Comments