Peka, amal langkah pencegahan ketika musim panas - Dr Dzulkefly
- Azuan Ab Rahman

- 12 hours ago
- 1 min read

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihati orang ramai supaya lebih peka dan mengamalkan langkah pencegahan susulan fenomena cuaca panas ketika ini.
Katanya, orang ramai perlu mengawasi tanda-tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga yang luar biasa, dan suhu badan yang semakin meningkat.
"Sekiranya ada tanda-tanda ini, amalkan langkah-langkah pencegahan segera dengan mencari tempat yang teduh, banyakkan minum air kosong, dan sejukkan badan dengan segera.
"Paling penting, jangan sesekali tinggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk seminit," katanya dalam satu hantaran di media sosialnya.
Menerusi hantaran sama beliau turut berkongsikan infografik pencegahan masalah kesihatan akibat cuaca panas yang antara lain menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti di luar bangunan pada waktu panas.
Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan media pada 5 Mac lalu menyebutkan rantau negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut, lazimnya dicirikan oleh pengurangan taburan hujan serta keadaan cuaca yang lebih panas dan kering
MetMalaysia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan).
Sementara itu, Dr Dzulkefly memaklumkan, sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat ini bagi 2026, termasuk tiga kes strok haba dan satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak yang tertinggal dalam kenderaan.




Comments