Pas dicabar namakan Zahid Hamidi sebagai calon PM wakili BN - PN


Pas dicabar untuk mencalonkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Perdana Menteri bagi membuktikan keikhlasan mereka dalam menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Mohd Shafiq Iqram Abdullah berkata, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu disertai penjelasan mengenai bentuk kerajaan yang mahu dibentuk serta individu yang bakal menerajui pentadbiran.
Beliau turut mempersoalkan apakah Pas bersetuju Zahid diangkat sebagai Perdana Menteri dalam kerjasama itu, sedangkan Pas sebelum ini memberi gambaran memiliki calon sendiri yang sesuai untuk jawatan berkenaan.
"Jadi saya nak tanya secara terus kepada Pas. Kalau BN-PN membentuk kerajaan selepas PRU-16, adakah Pas bersedia menerima Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri?
"Kalau tidak, siapa calon yang Pas mahu? Dan kalau BN pula mempunyai calon yang berbeza, bagaimana keputusan itu akan dibuat?" katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu susulan pandangan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, Kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan sebelum ini yang berpandangan Pas perlu bersedia menerima kemungkinan Zahid menjadi Perdana Menteri selepas PRU-16.
Mohd Shafiq sementara itu menegaskan, persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri terkait mandat rakyat dan ia perlu dijelaskan sebelum pengundian berlangsung.
"Kalau BN-PN mahu membentuk sebuah kerajaan bersama, mereka perlu menjelaskan perkara asas ini kepada rakyat. Siapa calon Perdana Menteri mereka?
"Bagi saya, soalan ini wajar dijawab secara terbuka sebelum PRU16, bukan selepas keputusan pilihanraya diketahui," tegasnya.




Comments