top of page

Ops pantau pastikan harga barang terkawal sepanjang Ramadan

  • 3 hours ago
  • 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksana Ops Pantau sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal terkawal.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata, operasi yang bakal bermula dari 19 Februari hingga 20 Mac ini akan melibatkan premis peruncitan, pasar tani, pasar malam, tamu, pasar raya dan bazar termasuk penjualan dalam talian.


Tambahnya, fokus utama operasi juga ialah memastikan bekalan barangan asas seperti gula, ayam, telur, minyak masak dan tepung gandum mencukupi di pasaran.


"Ops Pantau untuk kita membuat pemantauan dan penguatkuasaan secara berfokus, lebih kerap dan secara bersasar sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri," katanya dipetik.


Armizan sebelumnya ditemui pemberita dalam satu acara di Kota Kinabalu pada Ahad yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam.


"Penguatkuasaan akan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan juga melibatkan premis yang mengadakan promosi jualan murah bagi memastikan tiada iklan mengelirukan pengguna," tambahnya.


Beliau sementara itu turut memaklumkan, Ops Pantau kali ini turut akan memberi tumpuan kepada penjualan dalam talian susulan perubahan ketara dalam trend kepenggunaan.


"Rakyat kita sudah banyak membeli secara online. Jadi itu perlu dipantau, contoh apabila ditetapkan tempoh penghantaran, jangan sampai ada barang yang lewat," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page