Nurul Izzah fokus perkukuh jentera akar umbi — Siti Aishah
- Redzuan Shamsudin

- May 27
- 1 min read

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar tidak digugurkan daripada sebarang peranan dalam parti, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera di peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, Nurul Izzah yang digantikan tempatnya oleh Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya Berama kini mengambil pendekatan turun ke lapangan bagi memastikan kekuatan parti diperkukuhkan secara menyeluruh.
"Suka saya menyebut bahawa Nurul Izzah tidak digugurkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, keutamaan yang diberikan oleh Nurul Izzah adalah untuk membangunkan jentera parti di peringkat bawah, yang disifatkan sebagai elemen utama dalam memastikan kekuatan organisasi terus kukuh.

"Nurul Izzah memberikan keutamaan kepada pembanggunan jentera diperingkat bawah. Nurul Izzah Anwar mengambil tanggungjawab untuk berada dilapangan bagi memastikan parti bukan sahaja diperingkat atas diperkemaskan namun jentera yang merupakan elemen utama parti juga harus diperkasakan," ujarnya.
Tambah Siti Aishah, tiada istilah rehat bagi mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana beliau memilih untuk terus bersama jentera dan memperkukuh parti dari peringkat akar umbi.
"Tidak ada istilah rehat buat Nurul Izzah kerana beliau memilih untuk bersama jentera dan memperkuatkan parti dari bawah," katanya lagi.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa usaha tersebut akan membantu memastikan hala tuju parti terus berada di landasan yang baik.
Untuk rekod, naratif kononnya Nurul Izzah dikesampingkan ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh mengumumkan Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama yang baharu menggantikan Nurul.
Sedangkan dalam kenyataan sama turut diumumkan pelantikan Nurul dalam memperkukuh latihan jentera dan penyelenggaraan sistem pilihanraya KEADILAN.




Comments